fbpx

Polis Johor lancar operasi bersepadu patuh SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan

JOHOR BAHRU – Polis Johor melancarkan operasi bersepadu pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) hari ini bagi memantau tahap kepatuhan orang ramai terhadap garis panduan yang ditetapkan bagi menangani penularan pandemik itu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi tersebut membabitkan 151 anggota dan pegawai polis serta pembabitan agensi lain seperti petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, operasi yang dijalankan sehingga pukul 6 petang ini dibuat di 61 lokasi tumpuan melibatkan kawasan premis perniagaan, kedai makan, tempat awam dan sebagainya untuk memastikan pematuhan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1888 (Akta 342) dipatuhi.

“Operasi bersepadu ini dijalankan ekoran peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negeri ini melibatkan 2,362 kes sehingga semalam.

“Kerajaan memandang serius tentang penularan wabak ini. Justeru, operasi bersepadu pemantauan pematuhan SOP Covid-19 dijalankan hari ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Turut terlibat dalam operasi tersebut ialah pasukan sukarelawan polis, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

Dalam pada itu, Ayob Khan turut mengingatkan masyarakat agar tidak panik dengan penyebaran berita palsu berkenaan penularan pandemik tersebut di negeri ini.

Katanya, kes positif akan dimaklumkan oleh KKM dan tindakan susulan akan buat dengan melakukan saringan pemeriksaan bagi kontak rapat yang terlibat.

“Ada berita palsu melibatkan kawasan orang asli semalam di mana mereka melarikan diri ke dalam kawasan hutan selepas khabar angin mengatakan seorang guru agama di kawasan mereka positif Covid-19. Akibat mempercayai berita palsu itu, seramai 40 orang asli berkhemah di dalam hutan.

“Jangan mudah percaya khabar angin. sebarang kemuskilan boleh hubungi pihak polis dan KKM. Banyak khabar angin disebarkan hingga menyebabkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI