SEBERANG PERAI – Polis merampas sebanyak 205 bungkus air ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Contoh, Butterworth di sini tengah malam tadi.
Dalam operasi kira-kira pukul 12.10 tengah malam itu, nelayan lelaki berusia 32 tahun dipercayai penjual air tersebut turut ditahan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, siasatan mendapti air ketum itu adalah bagai pasaran di sekitar kawasan tersebut.
“Dia menjualnya pada harga RM7 sebungkus dan bekalan diperolehi daripada raknnya di Kuala Muda, Penaga di Kepala Batas.
“Suspek dipercayai menjalankan perniagaan itu sejak tiga bulan lalu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, Noorzainy berkata, dalam operasi berasingan pihaknya menahan seorang lelaki berusia 28 tahun di Pangsapuri Tun Dr Awang, Butterworth kira-kira pukul 2 pagi tadi dan merampas 60 bungkus air ketum.
“Penganggur tersebut dipercayai menjual air ketum itu yang kepunyaan orang lain di sekitar Pantai Bersih, Butterworth pada harga RM6 sebungkus.
“Siasatan mendapati dia menjalankan perniagaan berkenaan sejak sebulan lalu,” katanya lagi.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka negatif dadah.
Beliau berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – K! ONLINE














