PUTRAJAYA – Kes jangkitan Covid-19 hari ini melaporkan sebanyak 1,937 kes dengan kes tertinggi masih dicatatkan di Selangor sebanyak 823 kes.
Angka kes jangkitan juga termasuk daripada tiga kluster baharu yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif sebanyak 82,246 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 1,935 kes adalah penularan tempatan manakala dua adalah kes import.
“Terdapat tiga kluster tempat kerja dilaporkan iaitu Kluster Bukit Gemok di Sabah, Kluster Tapak Bina Cendana di Kuala Lumpur dan Kluster Dang Mutiara melibatkan daerah Gombak serta Dungun dan Kemaman, Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Noor Hisham berkata, sembilan lagi kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan membabitkan tujuh warganegara dan dua warga asing menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian sebanyak 411.
Pada masa sama, beliau berkata, sebanyak 911 kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih adalah 68,084 setakat hari ini. -K!ONLINE














