fbpx
KEPUTUSAN sama ada Syed Saddiq kekal dibebaskan atau disabitkan kesalahan dan hukuman akan diputusan oleh Mahkamah Persekutuan esok.

Kekal bebas atau sabitan: Nasib Syed Saddiq diketahui esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Nasib Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sama ada kekal bebas atau disabitkan atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di sini esok.

Keputusan akan dibuat Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama dua hakim iaitu Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah yang sebelum ini mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Pihak pendakwaan selaku perayu dibarisi Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Syed Saddiq, 33, sebagai responden diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Sebelum ini, pihak pendakwaan memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan 28 alasan antaranya bagi mengembalikan semula sabitan dan hukuman penjara selama tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi yang diketepikan oleh Mahkamah Rayuan tahun lalu.

Pada 25 Jun 2025, bekas Menteri Belia dan Sukan itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Keputusan sebulat suara diputuskan panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim. Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Ini selepas mahkamah itu membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menerusi penghakiman setebal 22 muka surat berkata, mahkamah menolak pembelaan Syed Saddiq sambil menyifatkan keterangannya ‘tidak masuk akal’.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan permohonan ahli politik itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dilupuskan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun melepaskan dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman itu apabila menyatakan tindakan mengarahkan seseorang untuk mengeluarkan wang tidak boleh dikatakan melupuskan dana.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

Bagi kesalahan itu, Syed Saddiq didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda.

Lelaki itu juga didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya pada 8 hingga 21 April 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 403KK yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan serta denda.

Syed Saddiq didakwa atas dua lagi tuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera yang merupakan hasil aktiviti haram.

Kesalahan dilakukan di sebuah bank di Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN