fbpx

8 individu tawar pelaburan online tidak wujud didenda RM3,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Padah menawarkan pelaburan dalam talian (online) yang tidak wujud, seramai lapan ahli sindiket pelaburan termasuk seorang wanita masing-masing didenda RM3,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Mohamad Fared Abdul Latif mengenakan denda itu ke atas dua warga China, Long Ke, 29 dan Chen Guo Rong, 24, serta lima lelaki warga tempatan, Tee Ming Shen, 35, Thong Kai Zong, 23, Heng Suan Ping, 18, Ong Chew Wie, 23, Ong Lim Zhi Hou, 20, dan seorang wanita warga tempatan Lai Lok Yau, 22, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan kesemua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan pakatan jahat dengan melakukan perbuatan salah di sisi undang-undang iaitu menawarkan pelaburan tidak wujud yang bertentangan dengan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Jalan Changkat, Bukit Bintang di sini, antara pukul 5 petang hingga 8.35 malam, 28 November lalu.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun kesemua tertuduh yang diwakili peguam P. Muniswer memohon denda yang rendah dengan memberi akujanji anak-anak guamnya tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Sementara itu dalam mahkamah sama, 21 lagi ahli sindiket pelaburan warga China berumur antara 17 hingga 30 tahun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sama.

Majistret Mohamad Fared tidak menawarkan jaminan bagi kesemua 21 tertuduh dan menetapkan 30 Disember ini untuk sebutan semula kes di bawah Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan, polis mengesyaki 29 individu terbabit terlibat dalam penipuan pelaburan antarabangsa dalam talian yang dikenali sebagai SCI e-commerce sejak sebulan lalu, dan hasil siasatan mendapati mereka menyewa 20 bilik di hotel berkenaan dengan bayaran RM100 sebulan bagi setiap bilik bagi melakukan aktiviti tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI