fbpx

Trend berbasikal usah sampai dikecam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KEBIASAANNYA apabila sesuatu perkara menjadi trend, perkara itu sedikit sebanyak akan menerima tempias, sama ada baik atau buruk.

Bukan sekali dua rakyat Malaysia mengadaptasi sesuatu yang trending. Sedekad lalu, fotografi menjadi trending sehingga ramai anak-anak muda menggantung kamera digital lensa tunggal reflex (DSLR) pada leher.

Penulis masih ingat, ada an­tara anak muda ini masih me­nyarung uniform sekolah, namun membawa kamera bernilai ribuan ringgit.

Kini, giliran aktiviti berbasikal mengambil tempat di hati rakyat Malaysia. Pada permukaannya, perkembangan ini sangat baik memandangkan rakyat Malaysia sudah cakna dengan aktiviti riadah dan rekreasi.

Namun, dalam pada kita meraikan sesuatu yang baik, ada segelintir individu atau kumpulan yang menconteng arang kepada aktiviti riadah ini.

Penulis mendapat maklumat daripada seorang rakan mengenai perkembangan yang tidak elok membabitkan geng basikal baru-baru ini.

Di Hulu Langat, Selangor, penunggang basikal melanggar etika ketika berada di jalan raya. Bermula dengan menunggang di tengah-tengah jalan, mengganggu lalu lintas sehinggalah ke meletakkan basikal di depan rumah orang tanpa izin.

Kemudian di Elmina, Su­bang, Selangor, tular sekumpulan penunggang basikal memanjat bukit di sebuah bulatan di kawasan tersebut.

Ia mencetus persoalan. Mereka yang terlibat dalam aktiviti ini bukanlah mereka yang tidak berpelajaran.

Golongan yang mengikut ini tidak pernah pula belajar daripada mereka yang berpengalaman. Habis semua etika, adab dan peraturan dilanggarnya. Semua demi beberapa keping swafoto untuk ditayang di Facebook.

Ini antara tempias buruk apabila sesuatu menjadi trending. Aktiviti berbasikal bukan lagi dilakukan kerana minat, namun kerana ikut-ikutan. Kita harus ingat, apabila berbicara soal trend, ia mempunyai jangka hayat. Trend tidak lama dan tidak kekal.

Ia bermakna, trend berbasikal ini juga akan surut. Namun, berbaloikah tatkala trend berbasikal sedang memuncak, aktiviti ini terpalit lumpur oleh segelintir individu tidak beretika.

Bagi penulis, paling menyedihkan ialah tempias ini turut terkena kepada mereka yang sememangnya meminati sukan berbasikal dan mengikut etika ketika berada di jalan raya. Namun, angkara nila setitik, rosak susu sebelanga, gara-gara penunggang basikal yang hanya mengikut trend.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan lebih banyak lorong basikal diwujudkan di negara ini bagi memudahkan peminat berbasikal mela­kukan aktiviti mereka dengan selamat dan selesa.

Ini kerana, katanya, penunggang basikal terpaksa mengambil risiko untuk membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain kerana kekurangan tempat yang sesuai untuk aktiviti berbasikal.

“Pihak berkuasa boleh mewujudkan lebih banyak lorong di taman-taman rekreasi yang besar atau pekan-pekan kecil bagi membolehkan penunggang menjalankan aktiviti mereka.

“Bagaimanapun, dalam keada­an sekarang, mereka harus prihatin terhadap orang lain de­ngan tidak meletakkan basikal di depan rumah atau tempat yang digunakan orang awam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI