fbpx

K2

Nelayan ‘terbang’ di ruang udara Pantai Merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAK TEH yang merupakan seorang nelayan beraksi dalam sukan luncur udara sambil diawasi rakannya di Bukit Penjara, Pantai Merdeka, Kedah.

SUKAN luncur udara atau paragliding sebelum ini dianggap sebagai aktiviti ekstrem untuk golongan tertentu yang berkemampuan sahaja.

Namun, persepsi itu boleh dianggap tidak lagi relevan apabila sukan tersebut kini popular dalam kalangan penduduk di sekitar Pantai Merdeka, Kuala Muda, Kedah termasuk kalangan nelayan, penjaja kecil dan pelajar sekolah.

Siapa sangka sejak hampir setahun lalu, seramai 15 peluncur di pantai peranginan itu terdiri daripada golongan berkenaan dari kawasan berhampiran.

Kumpulan tersebut menjadikan Bukit Penjara bersebelahan Bukit Berangan di Pantai Merdeka sebagai lokasi luncur.

Nelayan tempatan, Zaidi Shuib, 49, atau lebih dikenali sebagai Pak Teh berkata, dia mula meminati sukan tersebut selepas melihat beberapa peluncur ‘berterbangan’ di udara di sekitar kawasan Pantai Merdeka pada Oktober tahun lalu.

“Pada mulanya saya hanya memendam keinginan untuk terbang seperti mereka kerana fikir sukan itu untuk orang kaya sahaja, mana mungkin saya mampu beli peralatan paragliding kerana difahamkan kosnya agak tinggi.

“Tetapi selepas kali pertama berada di puncak Bukit Penjara dan melihat sendiri peluncur berlepas serta terbang bebas di udara, minat untuk menjadi peluncur mula timbul,” katanya kepada Horizon.

Menurut Pak Teh, sejak itu dia mula memberanikan diri untuk terbang secara ‘tandem’ atau bersama pilot berpengalaman dan ternyata amat menyeronokkan.

“Saya mula mengumpul duit dan belajar selok-belok menjadi peluncur sebelum membeli peralatan secara ansuran melalui bantuan Abdul Manaf Md. Noh, 50, dan Hasni Saad, 55, yang merupakan pelopor sukan itu di daerah ini.

 

ORANG ramai dari pelbagai latar belakang kini menjadi penggemar sukan luncur udara di Pantai Merdeka.

 

“Selepas tiga bulan belajar mengemudi payung, mengawal peralatan, berlepas, mendarat dan membaca angin, saya kemudiannya meluncur secara individu,” katanya.

Ceritanya, antara pengalaman getir yang tidak dapat dilupakan pada awal pembabitannya dalam sukan berkenaan ialah tersangkut pada pokok dan hampir terjatuh ke dalam laut.

“Semua itu merupakan asam garam sebagai seorang peluncur sukan paragliding ini. Paling penting saya dapat memenuhi hasrat untuk melihat keindahan alam dari udara walaupun asalnya saya seorang nelayan sahaja,” katanya.

Seorang pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kuala Muda, Muhammad Iqmal Mazlan, 17, pula berkata, dia mendapat galakan daripada keluarganya untuk menceburi aktiviti paragliding itu.

“Minat saya mula timbul selepas kali pertama melihat peluncur terbang sekitar Pantai Merdeka pada tahun lalu dan sejak itu saya memasang impian untuk menjadi seperti mereka.

“Selepas disokong keluarga, saya mula mengunjungi Bukit Penjara dan berkenalan dengan Manaf dan Hasni yang sering dilihat terbang di sini,” katanya.

Kata Muhammad Iqbal selain diberikan penerangan berkaitan paragliding oleh dua penerjun bertauliah itu, dia turut beberapa kali dibawa terbang sehingga rasa seronok untuk melibatkan diri secara aktif.

 

PERSEDIAAN rapi dibuat sebelum seseorang itu melakukan luncuran udara.

 

“Selepas tiga bulan belajar, kini saya bebas terbang berseorangan dan teruja kerana dapat menikmati keseronokan dalam sukan paragliding ini pada usia muda.

“Saya turut memiliki payung terjun dan semua peralatan sendiri dalam sukan ini. Sejak itu ramai rakan sekolah yang mula turut serta menceburi aktiviti ini,” katanya.

Bagi Hasni yang dikenali sebagai pengasas paragliding di Pantai Merdeka berkata, dia tidak sangka sukan lasak itu semakin digemari penduduk kampung tanpa mengira latar belakang mereka.

“Pada mulanya saya dan Abdul Manaf hanya meluncur untuk kepuasan diri sahaja di merata tempat di seluruh negara.

“Sejak melakukan aktiviti paragliding di kawasan ini pada tahun lalu, semakin ramai penduduk kampung yang ingin turut serta merasai keseronokan terbang bebas di udara,” katanya.

Tambahnya, dia akan meluncur bersama penduduk kampung setiap kali cuti atau hujung minggu selain merancang untuk menubuhkan kelab paragliding di Pantai Merdeka suatu hari nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI