fbpx

Tiada unsur jenayah dalam kes kematian Nora Anne

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nor Nikman

SEREMBAN – Ketua Polis Balai Nilai, Inspektor Mohd. Nor Nikman Ahammed memberitahu mahkamah siasatan secara menyeluruh telah dijalankan, namun tiada sebarang petunjuk atau bukti yang boleh mengaitkan kematian remaja perempuan warga Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin dengan unsur jenayah.

Mohd. Nor Nikman, 33,  saksi ke-46 dalam inkues bagi menentukan punca kematian Nora Anne berkata, terdapat tiga elemen utama dalam siasatan kes iaitu pengambilan sampel asid deoksiribonukleik (DNA)
di lokasi kejadian, siasatan cap jari dan rakaman percakapan saksi.

“Pada 6 Ogos 2019, siasatan DNA iaitu sampel tompokan dipercayai darah telah diambil di tandas tingkat bawah, manakala pada 7 Ogos 2019 sampel penuh diambil di bahagian atas Sora House (vila penginapan remaja itu bersama keluarga semasa tiba di Malaysia).

“Selain itu, sampel DNA ke atas sembilan buah kenderaan yang diperiksa pada 10 hingga 17 Ogos 2019 turut diambil serta sampel bedah siasat remaja itu selain sampel pondok kayu berhampiran lokasi mayat ditemui dan hasilnya menunjukkan negatif DNA Nora Anne,” katanya di hadapan Koroner Maimoonah Aid di Kompleks Mahkamah Seremban hari ini.

Mohd. Nor Nikman ketika kejadian bertugas sebagai Pegawai Penyiasat yang bertanggungjawab menyiasat laporan mati mengejut ke atas Nora Anne selepas mayat remaja itu ditemui.

“Sebanyak 11 laporan cap jari telah diambil bagi melengkap siasatan melibatkan penghuni Sora House, pekerja dan penghuni The Dusun Resort, orang awam yang berada di sekitar kawasan serta ahli keluarga remaja perempuan itu.

“Cap jari turut diambil di luar bingkai tingkap ruang tamu serta pemegang tangga dan bingkai pintu di loteng, Sora House pada 4 dan 7 Ogos 2019,” katanya.

Ketika ditanya Koroner tentang kesimpulan yang boleh dibuat berhubung kes tersebut, Mohd. Nor  Nikman berkata, daripada bukti-bukti dan keterangan yang ada, tiada unsur jenayah ditemui selain laporan bedah siasatan yang menyatakan mangsa meninggal disebabkan kelaparan.

Beliau juga menolak unsur penculikan dalam kes tersebut berdasarkan fakta bahawa tiada sebarang petunjuk yang dapat mengaitkan perkara itu.

Nora Anne, 15, anak sulung daripada tiga beradik yang juga anak istimewa, bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di sebuah resort di Pantai, Seremban pada 3 Ogos 2019.

Nora Anne kemudiannya dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya sebelum mayatnya ditemui sembilan hari selepas itu.

Prosiding itu akan bersambung semula esok.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI