fbpx

Johor sedia jika pintu sempadan dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri sudah bersedia sekiranya Kerajaan Persekutuan dan Singapura bersetuju untuk membuka semula sempadan antara kedua-dua negara bagi skim ulang-alik harian, iaitu ‘Daily Commutting Arrangement’ (DCA).

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, bagi memastikan skim DCA dapat dilaksanakan, kerajaan negeri telah menyediakan kapasiti antara 10,000 hingga 30,000 ujian swab dapat dilakukan setiap hari.

Jelasnya, ujian calitan itu adalah hasil kerjasama dengan makmal-makmal persendirian yang diakreditasi oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Menurutnya, kerajaan negeri telah mengesyorkan prosedur operasi standard (SOP) bagi skim DCA kepada Kementerian Luar Negeri pada 26 Oktober 2020 dan 9 November 2020.

“Sekiranya boleh dilaksanakan, maka SOP tersebut akan dibentangkan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), sebelum dibawa berunding dengan Kerajaan Singapura.

“Pada peringkat permulaan, pengenalan SOP DCA ini memberi fokus bagi kategori pekerja dan kategori pelajar. Pekerja, pelajar dan ibu bapa bagi pelajar boleh keluar dan masuk ke Johor dan Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Belanjawan Johor 2021 pada Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-14, di sini hari ini.

Hasni berkata, walaupun isu pembukaan sempadan antara Johor dengan Singapura merupakan bidang kuasa kerajaan Persekutuan, namun kerajaan negeri amat komited dan prihatin terhadap kesejahteraan rakyat.

“Usaha-usaha ini juga membuktikan bahawa kerajaan negeri Johor sentiasa berusaha dan komited dalam memastikan usaha pembukaan sempadan dapat direalisasikan tanpa mengetepikan kepentingan kesihatan dan keselamatan rakyat,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI