fbpx
SAKURA BAND

Monopoli hati Sakura Band

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH beberapa ketika tidak muncul dengan buah tangan terbaharu, kumpulan Sakura Band yang satu ketika dahulu popular dengan lagu Polaroid, Pelarian dan Melepaskanmu
kembali dengan sebuah lagi karya untuk mengubati hati peminat mereka.

Sakura Band yang dianggotai oleh Melly Matius (Mell), Ali, Haniff dan Akai kali ini mempertaruhkan lagu Monopoli selepas agak lama berehat.

Lagu berkenaan dicipta dan ditulis sepenuhnya oleh ahli-ahli kumpulan Sakura Band sendiri selain mendapat sentuhan Taja selaku penerbit.

Menurut Sakura Band, Monopoli menceritakan tentang perasaan seseorang individu yang mencurahkan sepenuh hidupnya ke atas perkara atau orang yang disayangi.

Dalam penulisan kumpulan itu, pengertian tersebut lebih menjurus kepada dedikasi dan komitmen dalam muzik serta persahabatan mereka yang telah mencapai usia lapan tahun
bersama.

Perasaan itu sentiasa ‘memonopoli’ atau menakluk diri mereka sekali gus membuatkan Sakura Band terus berkarya dan menghasilkan muzik.

Dalam erti kata lain, perkara berkenaan merupakan sebahagian daripada hidup Sakura Band sendiri.

Lagu tersebut turut menampilkan sebuah video muzik istimewa yang menggambarkan perjalanan dan detikdetik indah kumpulan itu sepanjang lapan tahun bersahabat dan berkarya bersama.

“Video muzik ini seolah-olah mengimbas kembali perjalanan kumpulan kami sejak awal dalam industri. Jadi terdapat beberapa babak yang boleh dianggap penuh emosi buat
kami saat menonton dan merakamnya.

“Kami harap para peminat bukan sahaja dapat menerima dan menyukai karya terbaharu kami. Bahkan juga mampu merasai apa yang cuba kami sampaikan melalui lagu dan cerita dalam klip video ini,” jelas Mell selaku vokalis.

Lagu Monopoli edaran Universal Music Malaysia sudah boleh dilayari menerusi semua platform digital sejak minggu lalu.