fbpx

Kerajaan jamin bantu pengusaha bas selesaikan beban hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zuraida (tengah) dan Alexander mengadakan pertemuan dengan wakil pengusaha bas hari ini. - Foto IHSAN KPKT

PUTRAJAYA – Permasalahan dihadapi kira-kira 1,200 pengusaha bas yang terkesan akibat pandemik Covid-19 kini menemui jalan penyelesaian apabila kerajaan memberi jaminan untuk membantu menyelesaikan beban hutang pinjaman pembelian kenderaan.

Timbalan Presiden Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia (GAPP) Wan Shairi Wan Ahmad berkata, jaminan itu disuarakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Katanya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berjanji membantu menyelesaikan masalah dihadapi mereka melalui pertemuan diadakan hari ini.

“Kedua-dua menteri terbabit akan membantu sebagai ‘orang tengah’ bagi mengadakan perbincangan dengan pihak kredit agar tidak menekan dan mengenakan tindakan mengikut Akta Kebankrapan 1967 kepada pengusaha bas,” jelasnya.

Menurutnya, kementerian berkenaan juga memaklumkan kerajaan sedang dalam proses menggubal Akta Kredit Pengguna yang dijangka dilaksanakan pada Mac 2021.

“Jaminan diberikan dua kementerian terbabit amat melegakan kami kerana dapat mengelak risiko kenderaan ditarik balik dan berdepan tindakan undang-undang daripada syarikat peminjam kredit,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Zuraida dan Alexander di sini hari ini.

Beliau berkata, pada pertemuan itu juga, GAPP turut menghantar memorandum memohon kerajaan menggesa syarikat kredit memberi moratorium selama dua tahun kepada pengusaha bas.

GAPP yang mempunyai 1,200 pengusaha tempatan membeli bas menerusi pembiayaan syarikat kredit yang tidak terbabit dalam program moratorium dilaksanakan kerajaan dan institusi perbankan.

Wan Shairi berkata, hampir 95 peratus pengusaha bas tidak dapat menjelaskan ansuran bulanan sejak beberapa bulan lalu berikutan operasi bas terjejas akibat pandemik Covid-19.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan, pengusaha bas berhadapan kerugian mencecah hampir RM3 billion berikutan tidak layak menerima moratorium penangguhan bayaran balik pinjaman pembelian kenderaan itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI