fbpx

Kanak-kanak lelaki cedera angkara amah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amah Indonesia yang ditahan selepas mengakibatkan kecederaan kepada anak majikannya di Klang, semalam.

 

Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

KLANG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun cedera di dahi apabila tersembam di lantai selepas amahnya bertindak menendang meja tempatnya bermain di rumahnya di Aman Perdana di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang ketika suspek berusia 23 tahun ingin menyapu lantai di kawasan ruang tamunya.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, siasatan mendapati semasa kejadian nenek mangsa berada di dapur dengan suspek sedang menyapu di ruang tamu kediaman tersebut.

Katanya, mangsa pula sedang bermain di atas meja sofa di ruang tamunya. Turut berada di rumah tersebut adalah dua lagi beradik mangsa.

Difahamkan, suspek telah meminta mangsa untuk turun dari meja itu bagi menyapu lantai di kawasan tersebut namun tidak dipedulikan mangsa.

“Suspek kemudiannya menolak meja dengan kakinya secara sengaja sehingga menyebabkan mangsa terjatuh lalu tersembam ke lantai.

“Tindakan tersebut menyebabkan mangsa cedera di dahi kanan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kata beliau, nenek mangsa yang menyedari kejadian tersebut segera menghubungi menantunya bagi memaklumkan kecederaan dialami mangsa.

Ujar Nurulhuda, ibu mangsa yang terkejut terus bergegas pulang dan meminta penjelasan daripada suspek.

“Amah berkenaan memaklumkan tidak melakukan sebarang perbuatan namun aksi suspek telah berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) rumah tersebut.

“Suspek diberkas di balai polis selepas dibawa pengadu yang membuat laporan kira-kira pukul 12 tengah malam tadi” jelasnya.

Nurulhuda menambah, hasil siasatan mendapati suspek telah bekerja selama dua tahun dengan majikannya dengan pendapatan sebanyak RM1,200 sebulan.

“Suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI