fbpx

Inisiatif PFM, eWayang rancakkan industri perfileman tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pansha (Dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kenangan kepada Pengasas eWayang.com, Ismahanum sambil diperhatikan oleh Zahrin (kiri) dan Azmi (kanan).

KUALA LUMPUR – Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) menjalin kerjasama dengan platform penstriman baharu, eWayang dalam usaha membantu penerbit dan mendapatkan penyiaran filem.

Disebabkan pandemik Covid-19 yang masih belum reda, eWayang bukan sahaja menawarkan pengguna menonton filem-filem tempatan kegemaran bahkan dapat menjana pendapatan.

Pengarah Urusan eWayang, Azmi Ismail berkata, objektif platform eWayang turut membantu penerbit, pelakon atau sesiapa sahaja.

“Perbezaan ketara platform eWayang dengan platform penstriman video lain adalah sesiapa sahaja yang menonton filem di eWayang boleh menjana pendapatan menerusi ‘referral’.

“Sebagai contoh, anda beli tiket untuk tonton wayang menerusi eWayang, anda akan mendapat ‘referral link’ yang boleh dikongsi dengan rakan-rakan, keluarga atau di media sosial,” katanya pada majlis menandatangani memorendum persefahaman antara eWayang dan PFM di ibu negara, baru-baru ini.

Bukan penonton sahaja dapat menjana pendapatan, tetapi penerbit dan juga pelakon turut boleh menjana pendapatan sampingan, sekali gus menjadikan situasi menang-menang antara orang ramai dan juga penerbit.

Kata Azmi lagi, setiap penerbit yang menayangkan filem mereka dalam platform eWayang tidak dikenakan sebarang caj tersembunyi dan setiap pembelian tiket pihak penerbit akan mendapat 50 peratus daripada harga tiket.

“Harga tiket untuk filem di eWayang berharga RM15 sahaja dan keuntungan setiap tiket akan dibahagi sama rata iaitu 50/50. Jadi RM7.50 kepada penerbit dan RM7.50 kepada eWayang.

“Pihak eWayang juga akan menyalurkan RM1 daripada jualan tiket kepada tabung Covid-19, maknanya penonton bukan sahaja dapat tonton filem tetapi juga dapat membuat amal,” katanya.

Turut hadir Presiden PFM, Pansha, Pengasas eWayang.com, Ismahanum Ismail dan Setiausaha Agung PFM, Zahrin Aris.

Ketika ini, eWayang sudah pun menayangkan lapan buah filem dan bakal menayangkan lebih banyak lagi naskhah dalam masa terdekat ini.

Antara filem terbaru yang bakal ditayangkan dalam eWayang adalah Khurafat, Saya Amat Mencintaimu, Spinning Gasing, Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior, Jadi Juga, Kastil Tua, Senjakala di Manado, Bara dan Ciliwung Gudnite. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI