fbpx

Satu lagi kematian akibat rabies dilaporkan di Sarawak 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Satu lagi kematian membabitkan jangkitan rabies dilaporkan di Sarawak pada 25 November lalu membabitkan lelaki warga emas berusia 58 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa dimasukkan ke wad di Hospital Lundu pada 19 November lalu dengan gejala sakit dan lemah badan selama tiga hari.

Beliau berkata, mangsa mengadu sakit tekak dengan kesukaran untuk makan dan minum sebelum dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak pada 21 November lalu apabila keadaan kesihatannya bertambah teruk.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada 25 November lalu dengan diagnosa rabies meningoencephalitis. Mendiang pernah mempunyai sejarah digigit oleh anjing liar pada dua tahun lalu semasa berburu di dalam hutan.

“Namun, mendiang tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan. Mendiang juga membela lima ekor anjing tetapi anjing-anjing tersebut disahkan negatif rabies oleh pihak Jabatan Veterinar Sarawak,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham turut mengesahkan satu jangkitan baharu rabies membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang mempunyai sejarah digigit anjing di bahagian muka, pada 2 November lalu.

Menurutnya, mangsa dimasukkan ke Hospital Bau untuk menerima suntikan immunoglobulin rabies (RIG) dan vaksin anti rabies.

“Kes telah discaj dalam keadaan sihat pada 6 November namun pada 13 sehingga 15 November, kanak-kanak ini mengalami demam panas, lemah anggota badan, kurang selera makan, gelisah, hidrofobia dan menunjukkan tingkah laku agresif.

“Mangsa dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 16 November untuk rawatan lanjut dan disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 25 November lalu.

“Kanak-kanak ini sedang dirawat di HUS dan dalam keadaan stabil. Kementerian mendoakan agar kanak-kanak ini segera pulih seperti sedia kala,” katanya.

Katanya, anjing yang menggigit kanak-kanak itu adalah haiwan peliharaan milik jirannya.

Noor Hisham juga berkata, pertambahan dua kes itu menjadikan jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Malaysia tahun ini meningkat kepada lapan kes.

“Sejak 31 Julai lalu, jumlah keseluruhan kes dalam wabak rabies di Sarawak yang adalah 30 kes dengan 28 kematian.

“Hanya terdapat dua kes yang masih hidup dan kedua-duanya adalah kanak-kanak dengan sejarah mendapatkan rawatan awal,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI