fbpx

‘Mulianya hati cikgu….’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Unique Bakery yang mula dibuka sebulan lalu di Taman Cheng Perdana, Cheng diuruskan oleh tujuh orang pekerja orang kelainan upaya (OKU).

MELAKA – Seorang guru pendidikan khas nekad membuka sebuah kedai roti, Unique Bakery menggunakannya duit simpanannya demi memastikan pelajar orang kelainan upaya (OKU) yang didiknya berpeluang bekerja dan meraih pendapatan sendiri.

Jamiah Tulisman, 46, berkata, kedai itu yang baru beroperasi sebulan di Taman Cheng Perdana, Cheng di sini diuruskan oleh tujuh orang pekerja OKU terdiri daripada pelajar dan bekas pelajar pendidikan khas dari sekolah tempatnya mengajar.

Jelasnya, dia yang turut mempunyai seorang anak OKU (sindrom down) berusia 21 tahun amat memahami pergelutan yang dihadapi golongan itu dalam merebut peluang pekerjaan.

“Saya risau dengan nasib dan masa depan anak-anak istimewa ini, kerana saya sendiri pernah membawa mereka yang tamat sekolah mencari pekerjaan, sangat susah untuk mereka mendapat kerja.

“Kerana itu saya nekad melaburkan kesemua duit simpanan saya kira-kira RM70, 000 untuk membuka kedai roti ini, supaya boleh membantu mereka setakat yang termampu, ” katanya ketika ditemui di kedai rotinya itu.

Tambahnya, beberapa orang bekas pelajarnya pernah menjadi mangsa kes buli oleh majikan yang mengambil kesempatan membayar gaji terlalu rendah, tidak setimpal dengan bebanan serta tempoh waktu bekerja.

Mengulas lanjut, Jamiah berkata, dia mula menyimpan hasrat untuk membantu anak-anak istimewa ini sejak 2010 dan mengadakan kelas membuat roti dan kek secara kecil-kecilan di rumah sebagai persiapan awal membentuk kemahiran asas.

“Saya berikan kelas mengikut bakat dan kelebihan masing-masing, sebagai contoh mereka yang menghidap OKU lembam dan autism pandai membuat doh, membentuk roti serta menghias kek manakala sindrom down boleh diberikan peluang untuk bahagian mengemas kedai dan peralatan.

“Kesemua mereka sangat teruja setiap kali terlibat dalam proses pembuatan kek, namun ada juga masa di mana saya perlu berdepan dengan emosi istimewa mereka yang tiba-tiba mengamuk terutama apabila ditegur,” katanya.

Mengulas lanjut, guru berhati mulia itu memberitahu bayaran gaji diberikan kepada anak-anak istimewa itu setaraf dengan pekerja normal yang lain iaitu bermula RM1, 200, manakala bagi pekerja sindrom down akan dibayar mengikut jam bekerja.

Sementara itu, salah seorang remaja OKU (autism) Muhamad Zulfikri Ibrahim, 17, memberitahu, dia sangat teruja apabila dapat membuat roti dan seronok setiap kali hasil air tangannya dibeli pelanggan.

“Saya suka membuat roti dan menghias kek. Saya mahu bekerja dengan cikgu (Jamiah) selepas habis sekolah nanti,” katanya yang mengambil peluang penutupan sementara sekolah ekoran pendemik Covid-19 dengan bekerja di kedai berkenaan.

Jamiah berkata, setakat ini kedainya menjual 12 hingga 15 jenis roti dan kek yang dihasilkan pekerja OKU berkenaan dengan antara yang laris adalah Hungry Tuna, Cheezy Sosej, Spicy Tuna, Cheese Stick, Chicken Floss dan Chocolate Roll. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI