fbpx
NOR Ain Syafinaz menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Bukit Raja, kelmarin berhubung kejadian itu.- FOTO NOR AZIHAN MD. GHAZALI

Juruwang hamil ditampar pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Hanya kerana tidak sengaja tercampak barangan terkeluar daripada plastik, seorang lelaki naik angin dengan menampar seorang juruwang wanita yang hamil lima bulan dalam kejadian di sebuah pasar raya di sini baru-baru ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 malam pada Ahad lalu ketika Nor Ain Shafinaz Nor Azman, 24, sedang memasukkan barangan yang dibeli salah seorang pelanggan wanita di situ.

Menurutnya, kekhilafan itu membuat pelanggan itu memarahinya sebelum memaklumkan kepada suaminya yang berada di luar.

Katanya, insiden berlaku ketika pasar raya itu dalam proses menutup operasi hariannya dan terdapat beberapa pelanggan sedang beratur menunggu bagi melakukan transaksi pembelian.

“Selang beberapa minit, suami wanita itu meluru arah saya sambil berleter dan meminta berhenti sekiranya tidak ikhlas atau berminat untuk terus bekerja.

“Tidak cukup itu, lelaki itu kemudian secara tiba-tiba menampar pipi kiri saya dan insiden itu disaksikan pelanggan lain,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.

Kata Nor Ain Shafinaz, dia yang trauma dengan insiden itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Bukit Raja kira-kira pukul 11.30 malam.

“Laporan dibuat kerana bimbang dengan keselamatan diri jika lelaki itu mengulangi perbuatan sama terhadap saya,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh dalam kenyataan hari ini mengesahkan menerima laporan tersebut dan suspek lelaki berusia 38 tahun itu berjaya ditangkap pukul 8.30 malam tadi di rumahnya di sekitar daerah ini.

“Suspek bekerja sebagai pemandu lori ais batu dan semakan mendapati mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Lelaki itu telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Terdahulu, insiden itu tular menerusi video berdurasi satu minit 35 saat di laman sosial Facebook. -K! ONLINE