fbpx
GAMBAR HIASAN

Rakan kerja toksik perosak prestasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
MALINDA ABDUL MALIK,
WARTAWAN EKSEKUTIF

BEKERJA dalam persekitaran toksik bukan sahaja membunuh bakat seseorang, malah turut memberikan kesan negatif kepada produktiviti perkembangan syarikat.

Ada kalanya sikap toksik manusia itu juga boleh menyebabkan gangguan bipolar atau pe­nyakit mental yang serius.

Berdasarkan kajian, setiap manusia menghabiskan masa di pejabat secara purata 90,000 jam sepanjang hidup sekali gus menyebabkan situasi di tempat kerja sememangnya memberi kesan besar kepada kehidupan seseorang.

Bagi penulis, manusia toksik di tempat kerja bukan sesuatu perkara yang boleh dipandang remeh kerana mereka ini dika­tegorikan sebagai golongan pembuli yang memudaratkan diri sendiri dan juga orang lain.

Jika perkara ini tidak diben­dung ia bukan saja menjejaskan kesihatan mental mangsa sebaliknya akan memberikan kesan jangka masa panjang kepada perkembangan produktiviti syarikat.

Menurut Pegawai Psikologi Kanan, Pusat Kaunseling Universiti Utara Malaysia, Faezah Na­yan, orang bersifat toksik ini cenderung untuk iri hati dan rasa tercabar kepada individu yang mempu­nyai kelebihan daripada mereka.

Kata beliau, terdapat juga beberapa cara untuk mengenali orang toksik antaranya mereka yang sering membuatkan seseorang itu rendah diri, suka ‘membawang’ dan bersikap iri hati.

“Sebagai contoh, jika ada rakan yang memakai beg tangan atau barangan berjenama, individu tersebut akan berusaha mengatasi rakannya asalkan dia lebih daripada orang tersebut.

“Selain itu, seseorang itu se­ring mengalah dan sentiasa kalah kepada orang toksik kerana mereka bersikap manipulatif apabila mengetahui kelemahan diri kita,” kongsinya dalam satu program santai minda anjuran Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan baru-baru ini.

Ulas Faezah, cara untuk tangani atau berhadapan dengan orang toksik ini dengan mengawal emosi dan berhubung secara rasional dan bukannya emosional.

“Anda perlu mengawal diri dengan membina sempadan diri apabila berhadapan dengan orang toksik jika mereka cuba memasuki sempadan anda, maka beredarlah dengan segera.

“Kita sendiri tidak sedar bahawa kita sebenarnya orang toksik tetapi jika rakan-rakan mula menjauhkan diri kerana tidak selesa dan sering tertekan dengan sikap anda, ini bermakna mereka sedar bahawa anda seorang yang toksik,” ujarnya.

Tambah Faezah, sikap bersangka baik dan berfikiran positif akan menjauhkan seseorang itu daripada sikap toksik kerana persekitaran kerja tanpa orang toksik menjadikan suasana kerja lebih ceria, bersemangat sekali gus dapat menghasilkan pekerja yang produktiviti.

Sementara itu, memetik kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Psikologi Kesihatan Pekerja, pucuk pimpinan sesebuah syarikat seharusnya lebih proaktif dalam memastikan dasar dan budaya sihat diterapkan di pejabat.

Jelas kajian itu, kegagalan menerapkan suasana progresif menyebabkan kehilangan tenaga pekerja yang mahir sekali gus mengakibatkan syarikat tidak mampu menghasilkan sesuatu yang berdaya saing dan me­nguntungkan berbanding syarikat lain.

Akhir kata, tidak salah untuk seseorang itu membuat keputusan sama ada untuk terus kekal di tempat kerja itu atau sebaliknya kerana kesihatan mental perlu dilindungi terlebih dahulu daripada berada dalam keadaan persekitaran negatif.

POPULAR

BERITA BERKAITAN