fbpx

Lelaki ditahan miliki syabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki ditahan selepas didapati memiliki syabu bernilai RM5,000 dalam kejadian di perhentian bas Kampung Kalamauh kelmarin. - Foto IHSAN IPD SIPITANG

SIPITANG – Alasan seorang lelaki menunggu kawan menghantar minyak petrol gagal meyakinkan pihak berkuasa sehingga membawa kepada penemuan syabu bernilai RM5,000 dalam kejadian di perhentian bas Kampung Kalamauh kelmarin.

Dalam penahanan pukul 12.30 tengah malam itu, lelaki berusia 22 tahun berkenaan ditahan bersama motosikalnya oleh sepasukan polis bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang melakukan pemantauan dan penguatkuasaan Op Covid-19 di kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, pemeriksaan awal mendapati suspek berasal dari Kampung Likas, Kota Kinabalu.

“Pemeriksaan lanjut juga membawa kepada penemuan beberapa bungkusan plastik berisi ketulan hablur dipercayai dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 51.2 gram di tempat duduk motosikal suspek.

“Tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang untuk siasatan selanjut. Ia bagi mengenal pasti rakan suspek yang dipercayai menempah syabu berkenaan.

“Turut disita sebuah motorsikal jenis Yamaha Y15ZR yang digunakan suspek untuk membawa dadah,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Champin berkata, suspek turut disahkan positif dadah jenis Amphetamine dan Methaphetamine selepas ujian saringan ujian air kencing yang dijalankan ke atasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan tidak kurang daripada 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Champin berkata, pihaknya mendapati kes berkenaan adalah modus operandi terbaru pengedar dadah yang mengupah orang luar daerah untuk menghantar bekalan dadah ke Sipitang.

Sehubungan itu katanya, semua petugas Sekatan Jalan Raya (SJR) diarahkan membuat pemeriksaan teliti terutamanya penunggang motosikal yang datang dari luar Sipitang pada waktu malam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI