fbpx

Malaysia, China tubuh jawatankuasa pasca Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al- Sultan Abdullah.

PETALING JAYA – Malaysia dan China telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tinggi bagi Kerjasama Dua Hala Pasca Covid-19 yang akan dipengerusikan oleh Menteri Luar kedua-dua negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudin berkata, susulan daripada persetujuan tersebut, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Al Sultan Abdullah menzahirkan rasa sukacita terhadap perjanjian yang telah dimeterai secara maya pada 18 November lalu di antara Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan rakan sejawatnya, Wang Zhigang.

Sehubungan itu jelas beliau, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar perjanjian tersebut bukan sahaja dapat mempercepatkan pembekalan vaksin Covid-19 kepada Malaysia, bahkan akan menjadi pemangkin kepada perluasan kerjasama dan kolaborasi saintifik di antara kedua-dua negara.

“Walaupun perdagangan di peringkat global terkesan akibat ancaman Covid-19, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa sukacita baginda kerana Malaysia dan China masih mencatatkan pertumbuhan positif dari aspek jumlah perdagangan dan ini menggambarkan kemampanan dan daya tahan ekonomi Malaysia dan China yang boleh menjadi pelengkap kepada kedua-dua negara.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar keakraban, kerjasama dua hala di pelbagai sektor dan hubungan diplomatik di antara Malaysia dan China yang terjalin sejak tahun 1974 ini dapat diperkukuh dan dipertingkatkan lagi demi kepentingan dan kesejahteraan ekonomi bersama,” jelas beliau melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Menghadap Perpisahan Duta Besar China ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Bai Tian, di Istana Negara hari ini.

Bai Tian secara rasmi mula berkhidmat sebagai Duta Besar China ke Malaysia pada 28 November 2017 dan bakal menamatkan penempatannya di negara ini pada 27 November 2020.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak tahun 2009. Nilai perdagangan antara Malaysia dan China sehingga suku ketiga tahun ini berjumlah USD 92.5 billion (RM376.54 bilion).

Pada tahun 2019, nilai perdagangan antara kedua-dua negara berjumlah USD123.9 billion (RM504.39 bilion).-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI