PETALING JAYA – Pas mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekali gus mencetuskan perkembangan baharu dalam landskap politik negara menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat hari ini selepas mengambil kira keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berhubung kedudukan kerjasama politik antara kedua-dua parti.
Beliau berkata, dalam mesyuarat tersebut segala aspek dasar, hukum dan maslahah berhubung kerjasama politik Pas berasaskan prinsip penyatuan ummah telah dipertimbangkan.
“Pas turut meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama Pas-Bersatu berdasarkan laporan, kajian serta penilaian semasa sebelum memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan parti tersebut.
“Pas akan meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya (electoral pact) demi penyatuan ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Selain itu, Abdul Hadi berkata, Pas turut menyatakan kesediaan menerima penyertaan tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat yang berminat untuk menyertai parti berkenaan.
Perkembangan tersebut sekali gus mengakhiri spekulasi berhubung hubungan Pas dan Bersatu yang semakin tegang sejak beberapa bulan lalu.
Sebelum ini, pimpinan Pas di beberapa negeri meminta ahli dan jentera parti bersabar menunggu keputusan rasmi Jawatankuasa Pas Pusat berhubung masa depan kerjasama kedua-dua parti.
Kemelut antara Pas dan Bersatu dilihat semakin meruncing sejak penghujung tahun lalu susulan beberapa isu dalaman melibatkan kepimpinan Perikatan Nasional (PN), termasuk pertikaian mengenai hala tuju gabungan itu dan hubungan antara kedua-dua parti komponen utama berkenaan. – KOSMO! ONLINE














