fbpx

Kelangsungan hidup atau nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SUHANA MD. YUSOP
PENGARANG BERITA

SEBANYAK 1,884 kes positif Covid-19 dicatatkan kelmarin, rekod tertinggi sejak pandemik itu melanda negara kita awal tahun ini.

Selangor sahaja mencatatkan sebanyak 1,203 kes atau 63.9 peratus dengan Kluster Teratai hasil saringan pekerja warga asing di syarikat Top Glove merekodkan sebanyak 1,067 kes.

Kluster ini tercetus daripada kilang pembuat sarung tangan di Meru, Klang itu sejak 2 November lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu menunjukkan peningkatan kes mendadak sejak akhir-akhir ini dan sehingga kelmarin, sebanyak 2,524 kes positif dilaporkan daripada keseluruhan 5,767 kes yang disaring.

Top Glove mempunyai seramai 13,000 pekerja yang bekerja di 28 bangunan kilang di Klang.

Ini bermakna, sekiranya semua pekerja syarikat itu melakukan ujian calitan, tidak mustahil bilangan kes akan bertambah.

Kewujudan kluster Teratai mencetuskan kemarahan dalam kalangan orang ramai.

Perasaan marah itu diterjemahkan menerusi komen-komen yang ditinggalkan di Facebook yang meminta kerajaan mengambil tindakan terhadap kilang berkenaan yang didakwa mengabaikan keselamatan pekerja.

Penulis memandang rekod tertinggi itu adalah satu perkara serius. Sebelum ini, terdapat kluster penjara, diikuti kluster tapak pembinaan dan sekarang pula kluster kilang.

Tempias kluster ini bukan sahaja terkena pada pekerja, keluarga tetapi masyarakat sekeliling. Peniaga kecil-kecilan terutamanya hilang sumber pendapatan.

Kebimbangan mengenai angka positif Covid-19 di Selangor turut mendapat perhatian Kementerian Kesihatan yang pernah menyuarakan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu.

Pelaksanaan PKP berjaya melandaikan lengkungan kes Covid-19, namun keputusan itu perlu mengambil kira semua aspek termasuk kesan terhadap ekonomi.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan sebanyak 204 syarikat berkaitan industri hotel dan pelancongan menamatkan perniagaan masing-masing sejak Mac hingga Oktober lalu disebabkan pandemik Covid-19.

Bayangkan berapa banyak yang kehilangan pekerjaan.

Kewujudan peniaga jalanan, peniaga di kumpulan WhatsApp dan lampu isyarat yang tumbuh ibarat cendawan itu menyaksikan bahawa ekonomi rakyat perlu diselamatkan dan langkah pelaksanaan PKP adalah tidak sesuai.

Kita belum menang tapi akan berjaya jika semua bersatu hati mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Sukar, namun itu ‘ubat’ demi menyelamatkan nyawa agar tidak termasuk dalam kategori enam daripada 1,000 kes positif Covid-19 bermungkinan meninggal dunia.

Kajian Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) Malaysia itu menyaksikan golongan berusia antara 60 hingga 69 tahun adalah yang paling tinggi dilaporkan meninggal dunia dan 87 peratus kematian yang dilaporkan mempunyai sekurang-kurangnya satu masalah kesihatan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI