fbpx

Persoalan halal, haram vaksin Covid-19 dibawa ke Muzakarah Fatwa Kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkifli Mohamad Al-Bakri (dua, dari kiri) mengunjungi ke rumah Mohd. Shamsul Bahari di Taman Lukut Makmur, Port Dickson hari ini selepas kisah lelaki itu yang sanggup menjual rumah demi mencari wang pembedahan untuk mengubati penyakit buah pinggang anaknya yang rosak, Muhammad Syahmi, 19 (dua, dari kanan) dilaporkan media baru-baru ini.

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA

PORT DICKSON – Persoalan berhubung status halal dan haram vaksin Covid-19 yang akan diperolah kerajaan akan dibawa ke peringkat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk diperhalusi dan diputuskan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, dalam muzakarah tersebut, beberapa pihak turut akan dipanggil termasuklah daripada pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Kesihatan dan juga para mufti.

“Hal ini akan dibawa ke Muzakarah Fatwa Kebangsaan untuk diperhalusi satu persatu dengan kita memanggil sama ada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Kesihatan dan ahli akademik.

“Menerusinya, ia akan dibuat pertimbangan sewajarnya oleh pihak para mufti dan ahli jawatankuasa fatwa. Dalam masa terdekat kita akan dapat rumusan yang baik dengan melihat secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan ke rumah Mohd. Shamsul Bahari Ab Jalal, 48, di Taman Lukut Makmur, dekat sini hari ini.

Dalam kunjungan tersebut Zulkifli turut memberikan sumbangan kepada Mohd. Shamsul Bahari selepas kisahnya yang sanggup menjual rumahnya itu demi mencari wang pembedahan untuk mengubati penyakit buah pinggang rosak anaknya, Muhammad Syahmi, 19 dilaporkan media baru-baru ini.

Sementara itu, menurut Zulkifli, Malaysia belum lagi melakukan semakan terhadap kandungan vaksin Covid-19 yang dikeluarkan oleh 11 pengeluar yang telah dikenalpasti.

“Setakat ini belum lagi disemak kandungan, ia akan diperhalusi satu persatu. Ia bukan semata-mata kandungan tapi juga keseluruhan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI