fbpx

155 mangsa banjir dipindahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa banjir dipindahkan oleh agensi terlibat ke pusat pemindahan sementara yang dibuka berhampiran.

JOHOR BAHRU – Seramai 155 mangsa banjir dari daerah Pontian dan Johor Bahru dipindah ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah terbabit ekoran kejadian banjir kilat semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, kesemua mangsa melibatkan 40 buah keluarga kedua-dua daerah terlibat.

Katanya, dua PPS yang dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pasir, Johor Bahru dan Dewan Masjid Kampung Ulu Pulai, Pontian.

“SK Kampung Pasir dibuka pada pukul 7.30 malam bagi menempatkan 144 mangsa daripada 36 keluarga membabitkan penduduk Kampung Pasir, Kampung Seri Serdang, Kampung Pengkalan Rinting dan Kampung Seri Jaya.

“Manakala PPS di Dewan Masjid Kampung Ulu Pulai dibuka pada 10 malam bagi menempatkan 11 mangsa banjir dari Kampung Ulu Pulai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, sehingga 8 pagi ini, tiada pertambahan mangsa banjir dicatatkan dan kekal dengan jumlah 155 individu terjejas.

“Mangsa banjir dinasihatkan sentiasa minum air dan makan makanan yang telah dimasak. Buang makanan yang telah terendam dengan air banjir atau rosak.

“Elakkan makan makanan mentah seperti ulam-ulaman dan sayur-sayuran. Jangan makan makanan yang dihidang lebih empat jam serta sentiasa menjaga kebersihan diri basuh tangan sebelum kanan dan selepas ke tandas,” katanya.

Antara agensi yang terlibat ialah Polis Diraja Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Tentera Malaysia. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI