PUTRAJAYA – Dilema dan tekanan yang dialami sebaik pandemik Covid-19 menyerang dunia termasuk Malaysia pada hujung tahun lalu telah mendatangkan pelbagai masalah termasuk peningkatan kes perceraian di negara ini.
Mahkamah Syariah merekodkan sebanyak 90,766 kes penceraian dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
Daripada jumlah itu, 10,557 atau 11.7 peratus kes cerai melibatkan pasangan golongan warga emas berusia 50 tahun ke atas melibatkan 5,879 defendan dan 4,678 plaintif.
Plaintif ialah pihak yang menuntut sesuatu di mahkamah, manakala defendan pula pihak yang kena tuntut.
Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, Selangor merekodkan 17,406 kes cerai tertinggi.
Katanya, Johor berada di kedudukan kedua dengan 45,378 kes diikuti Kedah (8,302), Kelantan (7,452) dan Perak (7,360).
“Sarawak dan Perlis merekodkan jumlah terendah masing-masing sebanyak 2,636 dan 1,338 kes sahaja bagi tempoh sama,” katanya kepada Kosmo!.
Mohd. Na’im yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia berkata, faktor utama yang menyebabkan perceraian ialah tiada lagi persefahaman, masalah kewangan serta isu pemberian nafkah zahir dan batin.
Beliau tidak menafikan kehadiran orang ketiga dalam hubungan serta tekanan emosi yang dihadapi suami atau isteri sepanjang tempoh perkahwinan yang panjang turut menjadi faktor perceraian golongan warga emas.
“Bagi kes perceraian melibatkan pasangan berusia lebih 50 tahun pula, puncanya ialah tahap kesabaran terhadap pasangan masing-masing mungkin sudah tipis.
“Mungkin sudah banyak ruang dan peluang diberikan, namun tetap juga tidak berhasil,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, faktor-faktor lain termasuklah masalah penyalahgunaan dadah, keganasan rumah tangga serta campur tangan pihak ketiga dalam urusan rumah tangga.
“Di samping itu, penggunaan aplikasi Facebook dan WhatsApp secara berlebihan sehingga pasangan terabai juga didapati menjadi punca kepada perceraian golongan ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, ada sebahagian kecil pasangan yang sudah tidak tahan hidup bersama sehingga memberi alasan-alasan remeh seperti tidak tahan dengan bau badan atau tidak suka masakan yang disediakan.-K! ONLINE














