fbpx

K2

Pilihan cita rasa masakan India asli, vegetarian di Kuala Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOOR HASLINDA menunjukkan nasi daun pisang di Restoran Jasmine786 Indian Cuisine, Kuala Terengganu.

RESTORAN juga mampu menjadi pusat perpaduan secara tidak langsung apabila semua kaum dapat berkumpul menikmati makanan kegemaran mereka.

Mengetengahkan konsep makanan sihat berasaskan masakan India asli, Restoran Jasmine786 India Cuisine yang terletak di pusat bandar Kuala Terengganu, Terengganu ini menjadi tumpuan pelanggan India, Cina dan juga Melayu terutama mereka yang mengamalkan pemakanan secara sihat.

Pemilik restoran, Noor Haslinda Mazlan, 38, berkata, konsep restoran itu amat menitikberatkan menu sihat di samping menu-menu lain.

“Kebanyakan menu di restoran ini bertemakan vegetarian (berasaskan sayuran). Ramai yang datang ke sini memilih menu vegetarian termasuk kakitangan kesihatan, warga emas dan juga pelajar. Sekarang ramai sudah ada kesedaran memilih makanan sihat.

“Begitupun sebagai memenuhi selera pelanggan, kami masih menyediakan masakan India asli yang agak sukar diperoleh di Terengganu yang majoriti penduduknya Melayu,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.

Noor Haslinda berkata, menu utama yang menjadi pilihan di Restoran Jasmine786 Indian Cuisine sudah pastinya nasi daun pisang.

Ujar beliau, nasi daun pisang enak dimakan dengan pelbagai pilihan lauk dalam satu set hidangan seperti ayam goreng berempah, sayur-sayuran, ikan goreng, ayam masuk kicap, kari ikan dan kari kambing bermula pada harga RM5.

 

NASI daun pisang boleh dinikmati dengan pilihan pelbagai lauk bercita rasa India asli. – Noradila Mahamad

 

Ditanya kenapa memfokuskan masakan India bagi menu sarapan pagi, tengah hari dan petang termasuk kuih-muih tradisional India, Noor Haslinda berkata, beliau mahu mencari keunikan sebagai satu-satunya restoran masakan India asli di Kuala Terengganu.

Selain nasi daun pisang, tosei juga menjadi pilihan pelanggan tanpa mengira kaum dan doh tosei tersebut diadun oleh beliau sendiri bagi menjaga kualiti dan keaslian rasanya.

Dibantu tujuh pekerja, restoran itu mendapat anugerah Top 10 Oktober pilihan kedai terbaik pelanggan bagi kategori Kuala Terengganu daripada syarikat perkhidmatan penghantaran makanan, Food Panda.

JUADAH roti sarang burung yang menyelerakan ini juga diboleh didapati di restoran ini.

 

“Selain berniaga di kedai, kami juga menawarkan perkhidmatan pembelian secara online melalui Food Panda dan Quick Sent bagi membolehkan lebih ramai penggemar masakan India dan menu kesihatan menikmatinya,” jelas ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.

Restoran yang mula beroperasi pada Februari tahun ini dibuka dari pukul 7.30 pagi hingga 6.30 petang itu turut menyediakan menu istimewa pada hari Jumaat iaitu nasi beriani kari kambing tempatan.

Noor Haslinda beruntung kerana dapat mempelajari masakan India secara terus daripada ibu mertuanya yang berketurunan India, selain pernah mempunyai pengalaman mengusahakan restoran masakan India 10 tahun lalu.

Anak jati Taiping, Perak itu berkata, beliau mahir memasak menu kegemaran kaum India hasil tunjuk ajar keluarga mertuanya.

“Setiap hari kami akan menyediakan lebih kurang 12 lauk dan separuh daripadanya sering divariasikan supaya pelanggan tidak jemu dengan menu yang sama setiap hari,” katanya.

Noor Haslinda berkata, buat masa sekarang, beliau akan memberi tumpuan kepada satu-satunya restoran itu terlebih dahulu kerana ia masih baharu.

 

RESTORAN Jasmine786 Indian Cuisine menerima pelanggan daripada pelanggan pelbagai kaum yang ingin menikmati masakan India asli.

 

Ini ditambah pula dengan situasi ekonomi semasa yang kurang stabil ekoran penularan pandemik Covid-19.
Beliau juga mengakui masih perlu belajar lebih banyak lagi dalam pengurusan restoran kerana tidak ada pengalaman dalam bidang itu sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau bersyukur menerima komen positif sama ada secara lisan daripada pelanggan mahupun menerusi platform media sosial.

“Kebanyakan mereka menyokong usaha kami menyaji menu India asli yang tidak boleh didapati daripada premis-premis makanan lain di Terengganu termasuk restoran mamak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI