fbpx

Gasstn cadang buka 100 outlet BeliGas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Cabaran ekonomi yang dibawa pandemik Covid-19 memaksa usahawan menjadi lebih kreatif dan tangkas memanfaatkan teknologi terkini bagi membuka peluang perniagaan baharu yang lebih sesuai dengan persekitaran semasa.

Hal ini mendorong Suthan Mookiah, 34, untuk membuka syarikat Gasstn Sdn. Bhd. (di­sebut sebagai gas station) pada Julai lalu dan menggunakan kemudahan digital bagi menyediakan perkhidmatan penghantaran gas memasak secara terus kepada pengguna.

Membawa jenama BeliGas, Suthan memanfaatkan platform internet untuk membangunkan laman web beligas.my, aplikasi BeliGas di Google Play Store dan Facebook BeliGas Malaysia bagi menyediakan kemudahan mesra pengguna pada harga berpatutan.

Menurut anak kelahiran Kajang ini, dalam tempoh empat bulan sahaja, pihaknya kini te­lah memiliki 10 cawangan yang turut berfungsi sebagai gudang pen­yimpanan gas untuk menawarkan perkhidmatan di 123 kawasan di Lembah Klang.

“Perkhidmatan BeliGas meliputi kawasan Rawang, Shah Alam, Ampang dan Semenyih dengan menawarkan gas memasak jenama Solar dan Petron.

“Kami juga sedang dalam proses untuk membuka cawa­ngan pertama di Pulau Pinang yang terletak di Gelugor.

“Menjelang hujung tahun 2021, saya menyasarkan BeliGas akan memiliki 100 outlet di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Suthan menerangkan, selain menyediakan kemudahan tempahan gas yang mudah tanpa mengira waktu, BeliGas menawarkan gas memasak pada harga jualan berpatutan iaitu RM26.60 untuk gas berkapasiti 14 kilogram (kg) dan RM22.80 untuk kapasiti 12 kg termasuk caj penghantaran.

Malah, pelanggan akan diberi potongan harga jika memesan penghantaran sehari lebih awal manakala mereka juga tidak dikenakan sebarang caj tambahan sekiranya menukar tong gas memasak daripada jenama lain.

“Sambutan pelanggan setakat ini amat menggalakkan, setiap outlet kami kini menjual sekurang-kurangnya 100 tong gas sehari dan kami menyasarkan jualan antara 200 hingga 300 tong sehari.

Menuju ke hadapan, Suthan menjelaskan sokongan daripada rakan penghantaran amat pen­ting dalam perniagaannya dan pihaknya berhasrat untuk menambah jumlah kumpulan tersebut selari dengan pelan pengembangan syarikat.

Jelasnya, BeliGas kini memiliki 34 rakan penghantar menggunakan motosikal dan lori.

Kebanyakan daripada mereka terdiri daripada golongan daripada keluarga B40.

“Kami mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menjadi rakan penghantar kerana permintaan terhadap tong gas memasak semakin meningkat.

“Mereka yang berminat untuk membuka outlet BeliGas yang baharu, boleh membuat permohonan menerusi laman web.

“Syarikat juga berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan menjual peralatan kelengkapan dapur seperti hos dan alat pemadam kebakaran pada masa depan,” jelasnya.

BERITA BERKAITAN