fbpx

Majikan berperanan tangani Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisham.

PUTRAJAYA – Pihak majikan diseru untuk memainkan peranan lebih besar dalam bersama-sama menangani isu penting penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, seperti yang sering ditekankan Kementerian Kesihatan, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit dalam kalangan pekerja.

Antaranya, menurut beliau adalah isu tempat penginapan, kebersihan kendiri dan persekitaran di tempat tinggal serta tempat kerja.

Justeru katanya, majikan boleh mengambil tindakan dengan memberikan pendidikan kepada pekerja mengenai amalan kebersihan kendiri, persekitaran di tempat kerja dan tempat tinggal serta langkah pencegahan.

“Selain itu, menyediakan penginapan yang kondusif untuk memastikan penjarakan fizikal yang selamat dapat diamalkan.

“Seterusnya memantau dan memastikan amalan pencegahan jangkitan dipraktikkan oleh pekerja di tempat kerja dan tempat penginapan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, peningkatan kes mendadak di negeri-negeri Lembah Klang akhir-akhir ini disebabkan oleh peningkatan kes berkaitan dengan tempat kerja.

“Daripada 162 kluster aktif Covid-19 yang dilaporkan, sebanyak 72 kluster adalah berkaitan tempat kerja termasuk empat kluster baharu yang diumumkan hari ini.

“Ini berikutan ketiga-tiga negeri (di Lembah Klang) ini adalah pusat tumpuan warga pekerja. Kepadatan penduduk juga menjadi salah satu faktor risiko meningkatnya kadar kebolehjangkitan atau penularan penyakit Covid-19,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI