fbpx
AZWAN ALI

Saya takkan berhenti jadi Diva AA – Azwan Ali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALI terakhir pengacara sensasi, Azwan Ali mengendalikan program hiburan terbitan TV3 ialah sekitar satu sedekad lalu. Selepas sekian lama, tahun 2020 menyaksikan kemunculan semula Azwan sebagai pengacara di stesen televisyen tersebut menerusi program realiti, Lagu Cinta Kita musim kedua.

Ramai dalam kalangan peminat menyambut baik kemunculan pemilik nama lengkap Mohamed Azwan Ali itu.
Azwan, 54, tanpa segan mengakui teramat merindukan peminatnya.

Biarpun bertalu-talu perkataan kesat terletus dari bibirnya dalam sosial media, lelaki yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Malaya itu menzahirkan sesuatu yang berlainan apabila muncul dalam televisyen.

“Sejujurnya, saya hanya tidur sejam sahaja sehari sebelum Lagu Cinta Kita bersiaran. Saya khuatir memikirkan bagaimana sambutan peminat.

“Konsep hidup saya mudah. Tak hidup dek dipuji tak mati dek keji. Peminat suka, saya pun suka dan itu memberi motivasi kepada saya untuk buat yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya kepada Pose.

Azwan mengagumi bakat pengacaraan dua hos popular kini, Elly Mazlein.

Terus kritik

Bagaimanapun kata Azwan, sambutan dan pujian baik daripada peminat tidak bermakna dia akan berhenti daripada menjadi Diva AA yang mengkritik sesiapa sahaja apabila dirasakan perlu.

“Dalam media sosial, saya bukan mengkritik membuta tuli. Saya kritik sebab prihatin dengan industri dan persekitaran.
“Peminat terima atau tidak, terpulang kepada mereka. Mulut saya akan tetap seperti ini walau dikecam dan dihentam orang yang saya tidak kenali.
“Saya tetap lantang menegakkan apa yang orang tidak berani ketengahkan.
“Sama ada anda pemain seni atau datang dalam kalangan pemimpin sekalipun, anda buat silap dan perlukan kritikan, saya akan beri kritikan,” katanya.

Ditanya apa reaksinya apabila khalayak gembira dengan imej profesionalnya selaku pengacara dalam program realiti menggandingkan dirinya dengan Elly Mazlein, hanya satu pintanya daripada peminat.

Sumbangan

Dia mohon orang ramai tidak melupakan sumbangannya dalam dunia pengacaraan walaupun kini cukup sedar ramai khalayak membenci dirinya.
“Bertahun-tahun saya dihina dan maruah dipijak. Zaman saya sebagai pengacara sudah habis. Saya bukan gila glamor tetapi satu saya mohon, jangan lupakan sumbangan saya sebagai pengacara terutama program Juara Lagu.

“Saya tidak minta dihargai cuma jangan lupa saya merupakan perintis acara berprestij itu yang kini dikenali sebagai Anugerah Juara Lagu. Jangan lupa jasa saya kalau suatu hari nanti, saya sudah tiada lagi dalam dunia ini,” tegasnya berulang kali.

Mengulas lanjut, Azwan mempunyai alasan tersendiri berhubung persetujuan menerima tawaran TV3 mengacara program Lagu Cinta Kita. Selain bayaran yang lumayan, dia juga rindu beraksi dalam televisyen.

“Bukan sebab saya sudah tiada duit tetapi bayaran yang ditawarkan agak lumayan. Rugi kalau saya tolak tetapi pada masa sama, saya rindukan peminat yang banyak menyokong.
“Saya terima juga sebab Datuk Khairul Anwar Salleh turun padang berjumpa dengan saya. Jujur saya katakan, tiada latihan sangat pun program ini. Skrip pun banyak yang saya tambah-tambah. Saya pun sangat seronok bekerja dengan Elly Mazlein.
“Saya potong rambut untuk program ini atas kerelaan sendiri. Tiada arahan atau paksaan daripada mana-mana pihak,” katanya.

UJAR Azwan, dia tetap akan membidas netizen di sosial media walaupun semakin aktif atau sudah kembali dalam bidang pengacaraan.

Sebelum menutup perbualan, Azwan berkata, dia juga bersedia untuk kembali mengacarakan Anugerah Juara Lagu jika itu dimahukan ramai.

Ujarnya, jika TV3 sudi mengambilnya mengacarakan acara berprestij berkenaan, dia juga tidak akan keberatan.
“Kali terakhir saya mengacarakan program itu ketika masih dikenali sebagai Juara Lagu pada 1995. Sebenarnya rindu untuk beraksi acara yang begitu sinonim dengan saya.
“Kalau saya kembali mengacara, pasti AJL35 akan meletup. Biar saya ajar pengacara sekarang. Kalau mengacara tidak usah terpekik terlolong untuk meraih perhatian. Itu membingitkan,” katanya.

BERITA BERKAITAN