LONDON – Bintang sensasi Juventus, Cristiano Ronaldo digesa untuk menyertai Wolverhampton Wanderers sekiranya dia berminat untuk kembali beraksi di Liga Perdana Inggeris.
Penyerang Watford, Troy Deeney mendedahkan bahawa Ronaldo perlu mempertimbangkan mengenai perpindahannya ke Wolves yang mempunyai hubungan dengan ejennya, Jorge Mendes.
Deeney percaya bahawa Wolves bakal menjadi pasukan terbaik untuk disertai pemain berusia 35 tahun itu sebelum bersara kerana pasukan itu mempunyai reputasi di bahagian serangan yang cukup sempurna sejak kebelakangan ini.
“Saya fikir Wolves mampu menjadi antara pasukan pilihan Ronaldo kerana mereka mempunyai hubungan yang kuat dengan Portugal.
“Pasukan yang berjaya mendapatkan Ronaldo sangat bertuah kerana dia mempunyai bakat yang baik. Musim ini, dia meledak enam gol dalam empat perlawanan di Serie A.
“Anda mungkin tidak akan mendapat khidmat Ronaldo yang bermain untuk Manchester United sebelum ini tetapi dia masih pemain yang baik.
“Lihat sahaja Gareth Bale, dia kembali semula ke Tottenham Hotspur tetapi adalah satu kesilapan jika cuba membandingkannya dengan Bale yang meninggalkan Spurs ke Real Madrid sebelum ini.
“Jika Ronaldo bersedia untuk mencari kelab baharu di England, saya mungkin terkejut sekiranya tiada pasukan dalam kelompok 10 teratas tidak berusaha mendapatkan khidmatnya.
“Wolves sedang merancang sesuatu, mereka cuba untuk berada dalam kelompok pasukan elit di England. Sekiranya mereka mahu terus berada pada tahap berbeza, Ronaldo perlu ada dalam senarai pemain yang mereka perlukan,” katanya. – AGENSI