fbpx

MKN kekal tangguh aksi Piala Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menangguhkan kejohanan bola sepak berprestij, Piala Malaysia adalah muktamad selepas meneliti rayuan yang dibuat oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Kata Ismail Sabri, penangguhan Piala Malaysia ke tarikh baharu dikekalkan kerana bimbang penularan Covid-19 dalam kalangan pemain dan pegawai melibatkan lapan pasukan yang bertanding dalam aksi suku akhir nanti.

“Kita telah dengar dan teliti tentang rayuan MFL, namun kita tetap dengan keputusan untuk tangguhkan Piala Malaysia kerana bimbang pandemik Covid-19 akan merebak sehingga memberi kesan agak besar kepada kesihatan (pemain dan pegawai).

“Selepas berbincang, bahaya jangkitan bukan berlaku di tengah padang tetapi turut terjadi di bilik persalinan yang sememangnya sukar untuk dikawal dengan prosedur operasi standard (SOP).

“Apa yang pasti, kita perlu konsisten dalam membuat keputusan kerana sebelum ini temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 turut dibatalkan,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Kelmarin, MFL telah mengemukakan rayuan dengan memperketatkan SOP selain mencadangkan aksi Piala Malaysia diadakan di Pahang dan Kelantan yang tidak terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri turut mengesahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut membuat keputusan untuk tidak membenarkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berlepas ke Qatar bagi mengharungi aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) bulan ini.

“Polisi kita sama iaitu pintu sempadan negara ditutup dan rakyat tidak dibenarkan keluar. Ini kerana kita tidak tahu SOP di negara tersebut dan keputusan ini dibuat atas alasan bagi menjamin keselamatan pasukan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards memberitahu, pihaknya menghormati keputusan kerajaan dan memahami tindakan atas faktor keselamatan terpaksa diambil disebabkan oleh peningkatan kes pandemik Covid-19.

“Walaupun kami sangat kecewa tidak dapat mengambil bahagian dalam kejohanan tertinggi kelab peringkat Asia dan juga Piala Malaysia, kami menghormati keputusan kerajaan.

“Keselamatan setiap orang termasuk skuad JDT yang bakal ke Doha adalah satu keutamaan. Kami berdoa dan berharap agar dunia dapat mengatasi pandemik ini sebelum bermulanya musim 2021,” katanya.

Skuad Harimau Selatan yang dibimbing oleh Benjamin Mora dijadualkan beraksi dalam empat perlawanan ACL menentang Guangzhou Evergrande pada 19 November dan 4 Disember, Suwon Samsung Bluewings (25 November), Vissel Kobe (1 Disember).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI