fbpx

Kerajaan laksana Pelan Rekalibrasi PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah (tengah) bercakap pada sidang akhbar selepas sesi pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravana berhubung Pelan Rekalibrasi pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini. - Foto IHSAN KDN

PUTRAJAYA – Kerajaan akan melaksanakan Pelan Rekalibrasi pendatang asing tanpa izin (PATI) bermula 16 November ini hingga 30 Jun tahun depan bagi memulihkan semula sektor ekonomi yang terjejas akibat Covid-19.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan pada 21 Oktober lalu bersetuju dengan cadangan Pelan Rekalibrasi PATI yang merangkumi dua komponen utama iaitu Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

Beliau berkata, Program Rekalibrasi Pulang adalah program yang membenarkan PATI untuk pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

“Manakala Program Rekalibrasi Tenaga Kerja pula, ia suatu program khas untuk membolehkan pekerja asing sedia ada di negara ini diambil bekerja secara sah oleh majikan di negara ini.

“Ia bagaimanapun tertakluk kepada syarat-syarat ketat yang diputuskan oleh kerajaan melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

“Pelan ini akan dilaksanakan oleh JIM dan JTKSM serta agensi-agensi kerajaan yang lain tanpa membabitkan vendor atau pihak ketiga,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Hamzah berkata, semua PATI dan majikan yang berhasrat menyertai Program Rekalibrasi Pulang atau Program Rekalibrasi Tenaga Kerja di bawah Pelan Rekalibrasi Pati perlu berurusan secara terus dengan dua jabatan berkenaan.

Beliau berkata, program itu tidak membabitkan kos kerajaan sebaliknya kerajaan dijangka akan memperolehi kutipan hasil sebanyak RM95 juta daripada kompaun serta bayaran-bayaran lain yang dikenakan terhadap PATI dan majikan menerusi pelan tersebut.

Menurutnya, menerusi program itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dapat mengumpulkan data serta taburan PATI di negara ini bagi tujuan penguatkuasaan menyeluruh.

Hamzah berkata, kerajaan menetapkan hanya majikan yang beroperasi dalam empat sektor dibenarkan untuk mengambil PATI sebagai pekerja iaitu pembinaan, perkilangan, perladangan dan pertanian.

Pada masa sama, beliau berkata, KDN dan KSM juga akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak Kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi Asing serta pemain industri di Malaysia bagi menyampaikan maklumat tepat kepada PATI dan majikan tentang pelan ini.

Jelasnya lagi, satu Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI akan ditubuhkan dan diketuai oleh Ketua Setiausaha KDN serta dianggotai KSM, JIM, JTKSM dan beberapa agensi berkaitan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI