fbpx

34,200 akaun pengguna di Sik, Kuala Muda terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

ALOR SETAR – Sebanyak 34,200 akaun pengguna di daerah Sik dan Gurun dalam daerah Kuala Muda berdepan gangguan bekalan air bermula pukul 6 petang tadi susulan henti tugas tiga Loji Rawatan Air (LRA).

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA), Mohd. Suhaimi Mohd. Jusoh berkata, tiga LRA itu adalah LRA Jeniang Baru, Jeniang Lama dan Sungai Pau.

Kata beliau, operasi LRA tersebut dihentikan sementara apabila terdapat tumpahan minyak yang mengakibatkan masalah pada kualiti air mentah.

“Kesan tumpahan bagaimanapun telah berhenti dan petugas loji sedang dalam proses membersihkan muka sauk tiga LRA itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Suhaimi, lebih 100 kawasan termasuk kampung, taman perumahan dan kawasan industri terjejas.

“Antara lokasi terlibat adalah seluruh Pekan Sik dan kawasan Jeniang,  Kampung Begia, Kampung Kuala Jeneri, Kampung Changhai, Kawasan Industri PKNK Gurun dan Taman Gurun Indah,” ujarnya.

Katanya, setakat ini keadaan LRA lain yang terletak di hiliran seperti LRA Teloi Kanan, Bukit Selambau, Kuala Ketil, Taman Teknologi Tinggi Kulim dan Sungai Petani masih terkawal.

“Pemantauan masih dijalankan dan SADA sedang menunggu maklum balas terkini daripada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah sambil kerja-kerja pembersihan terus dijalankan,” jelasnya.

Tambahnya, kerja-kerja pembersihan takungan pelincir muka sauk dijangka selesai awal pagi esok.

“LRA tersebut akan beroperasi semula selepas kerja-kerja pencucian muka sauk selesai,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI