fbpx

48 kes salah guna media sosial didakwa di mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Sebanyak 48 pertuduhan telah difailkan di mahkamah bagi tempoh antara Januari sehingga September lalu, selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan terhadap individu yang menyalahgunakan media sosial.

Jabatan Komunikasi Korporat MCMC dalam satu kenyataan berkata, angka tersebut memperlihatkan peningkatan sebanyak 66 peratus dan adalah lebih tinggi berbanding pada tahun 2019.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 34 pertuduhan adalah melibatkan kesalahan yang dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, dengan perbuatan berkongsi atau menyebarkan kandungan lucah mencatatkan angka tertinggi iaitu sebanyak 22 pertuduhan.

“Ini diikuti dengan kandungan jelik sebanyak sembilan pertuduhan serta kandungan palsu sebanyak tiga pertuduhan.

“Manakala 14 pertuduhan yang selebihnya adalah merupakan kesalahan yang dilakukan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, seperti yang diputuskan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara berpandukan kepada hasil keterangan yang diperoleh,” katanya di sini hari ini.

MCMC berkata, kesalahan yang dilakukan melalui aplikasi Facebook dan Twitter mencatatkan angka yang tertinggi iaitu masing-masing sebanyak 14 pertuduhan dan ia diikuti oleh WhatsApp sebanyak 13 pertuduhan.

“Sementara Instagram dan blog masing-masing mencatatkan bilangan terendah iaitu satu pertuduhan sahaja,” katanya.

Katanya, secara keseluruhan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, MCMC telah menerima sebanyak 178 Laporan Maklumat Pertama atau First Information Report (FIR) berkaitan dengan kesalahan penyalahgunaan media sosial, berbanding dengan hanya 139 yang diterima bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

“Sebarang perkongsian atau penyebaran kandungan palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 AKM 1998.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurut MCMC, peningkatan dari segi bilangan pertuduhan di mahkamah menunjukkan ketegasan MCMC dalam menangani salah guna media sosial yang masih berleluasa dalam kalangan rakyat.

“Selain itu, tindakan berkenaan juga bertujuan untuk memastikan persekitaran Internet yang selamat dan terjamin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kawal Selia MCMC, Zulkarnain Mohd Yasin menegaskan, tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang menyalah guna media sosial termasuk penyebaran berita palsu adalah perlu demi kebaikan semua.

Ujar beliau, ketegasan pihak MCMC dalam melaksanakan penguatkuasaan adalah penting bagi menghantar mesej jelas kepada penyebar bahawa mereka yang terlibat tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Zulkarnain turut menggesa orang awam agar sentiasa patuh akan undang-undang dan tampil memainkan peranan dalam membantu pihak berkuasa dalam menangani salah guna media sosial seperti penyebaran berita-berita palsu.

Orang awam boleh membantu pihak berkuasa dalam hal ini dengan membuat aduan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) ataupun kepada MCMC melalui e-mel aduan iaitu [email protected], WhatsApp di talian 016-220 6262 ataupun Portal Aduan MCMC pada pautan https://aduan.skmm.gov.my/. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI