fbpx

32 kenderaan diarah berpatah balik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail menunjukkan Shafien (dua kanan) meneliti surat kebenaran perjalanan individu yang masuk ke Kelantan melalui SJR Tok Bali di Kampung Pachakan, Pasir Puteh pada November lalu.

PASIR PUTEH – Sebanyak 32 kenderaan yang dinaiki 96 penumpang bersama pemandu diarah untuk berpatah balik selepas mereka gagal menunjukkan surat kebenaran perjalanan dan memberi alasan yang tidak logik di empat Sekatan Jalan Raya (SJR) di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, arahan itu dikeluarkan oleh polis selepas mereka tidak mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa semalam di kebanyakan negeri.

Katanya, jumlah kenderaan yang paling banyak diarah berpatah balik ialah di SJR Jeli dan di dua lokasi SJR Pasir Puteh

Menurutnya, bagaimanapun, tiada kompaun dikeluarkan terhadap pemandu dan penumpang kecuali arahan patah balik selain nasihat mengenai pematuhan SOP dan penularan Covid-19.

“Pemantauan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditingkatkan di pelbagai lokasi di negeri ini.

“Polis telah mengeluarkan sebanyak 1,244 kompaun termasuk mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha premis perniagaan yang gagal mematuhi SOP apabila ada antara mereka menyediakan penyukat suhu yang tidak berfungsi dan cecair pembasmi kuman tidak asli,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan di SJR Tok Bali di sempadan Pasir Puteh/Besut di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd. Azmir Damiri dan Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abd. Rozak Muhammad.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, polis turut mengeluarkan kompaun kepada pengusaha premis perniagaan di Kota Bharu yang menggunakan campuran air dalam cecair pembasmi kuman selain menulis bacaan suhu yang seragam dalam tempoh waktu yang sama kerana alat pengukur suhu gagal berfungsi.

Mengenai kemungkinan Kelantan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekiranya berlaku peningkatan gelaja Covid-19, beliau berkata, pihaknya dan agensi lain sudah bersedia untuk mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk kawalan merentas daerah.

“Di sekatan jalan raya semua anggota diarahkan bertugas dengan integriti yang tinggi dengan mematuhi prosedur tugasan yang diamanahkan. Semua lorong tikus di sempadan daerah telah dikenal pasti dan ditempatkan pegawai untuk memantau.

“Mereka yang memiliki surat kebenaran perjalanan dari zon merah iaitu Selangor dan Kuala Lumpur wajib menjalani pemeriksaan ujian swab di lokasi sekatan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertugas,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI