fbpx

Pengusaha taska, tadika swasta tanggung kerugian RM50 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Brunch, Mohd Fadzil Hashim bercakap pada sidang akhbar permohonon kajian semula tempoh penutupan pendidikan awal kanak-kanak dan sesi persekolahan di Malakat Mall Cyberjaya di sini, hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA

CYBERJAYA – Sebanyak 5,000 pengusaha serta persatuan-persatuan pendidikan awal kanak-kanak dan sekolah-sekolah swasta Malaysia menanggung kerugian hampir RM50 juta dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wakil persatuan, Mohd. Fadzil Hashim berkata, jumlah berkenaan dicatatkan dalam tempoh PKP mulai Mac hingga Jun lalu ekoran penutupan institusi pendidikan awal termasuk taska dan tadika.

Beliau yang juga Pengasas Kumpulan Brainy Bunch berkata, pihak sekolah terbabit menanggung kerugian kerana tiada sumber kewangan dan hanya bergantung kepada yuran pelajar sehingga sukar untuk membayar bil, gaji
guru serta sewa bulanan premis.

“Pandemik Covid-19 telah memberi kesan yang besar kepada pengusaha-pengusaha pendidikan swasta.

“Oleh kerana sekolah tidak dapat dibuka dan pengajaran dan pembelajaran terpaksa dibuat secara emergency remote teaching (ERT), kebanyakan sekolah tidak dapat mengutip yuran penuh daripada ibu-bapa,” katanya pada sidang akhbar di Malakat Mall di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Fadzil berkata, penutupan sekolah dan sektor pendidikan itu membabitkan pelbagai pihak berkepentingan membabitkan lima juta orang murid dan pelajar serta lebih 500,000 orang guru serta pensyarah.

Beliau berkata, sekiranya keadaan berterusan, para pengusaha pendidikan swasta akan menghadapi masalah aliran tunai yang tenat sehingga mengancam viabiliti sekolah-sekolah berkenaan dan berkemungkinan sebahagian besarnya berdepan penutupan operasi.

“Sekiranya kanak-kanak boleh dibenarkan untuk ke pusat beli-belah, pasar raya, restoran, tempat awam dan sebagainya, kami berharap KPM dapat melihat rasional dan keperluan untuk dikaji semula tempoh penutupan selama empat bulan ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau memohon kerajaan mengkaji semula penutupan prasekolah yang diadakan sehingga hujung tahun ini serta memberi keutamaan penutupan kepada sekolah yang berada di zon merah sahaja.

“Kami memohon kepada kerajaan agar membenarkan sekolah yang berada di zon selamat meneruskan operasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Menurutnya, permohonan itu mewakili 25 persatuan sekolah swasta yang berharap agar kerajaan menimbangkan semula arahan penutupan sekolah kerana turut menimbulkan masalah kepada ibu bapa yang bekerja.

Katanya, pendidikan swasta di peringkat sekolah dan prasekolah adalah satu komponen penting dalam sistem pendidikan di negara ini selain turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara serta memberi sumbangan besar kepada pembangunan sumber manusia.

“Oleh itu, kami memohon ihsan pihak kementerian untuk membenarkan institusi pendidikan swasta beroperasi mengikut SOP ketat serta mengambil kira peraturan-peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, bagi tujuan itu juga satu memorandum akan dihantar kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok agar penelitian semula berhubung perkara berkenaan dapat diambil. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI