MANJA dan pemalu. Itu yang dapat digambarkan tatkala berbicara dengan gadis bertudung litup, Sheryl Shazwanie baru-baru ini.
Terdetik dalam hati, barangkali perwatakan tersebut yang berjaya membuatkan Azzam Sham jatuh hati pada pelantun lagu Perasaan itu.
Berbicara mengenai perjalanan sebagai penyanyi, Sheryl mengakui graf kerjayanya bermula perlahan.
Meskipun bergelar penyanyi sejak tahun 2015 iaitu lima tahun lalu, dia hanya mula dicari sejak 2018 menerusi single Perasaan.

Impak Perasaan juga berjaya menempatkannya sebagai salah seorang bekas peserta Big Stage (BS) musim pertama.
Tahun ini, dia muncul pula dengan dua buah lagu duet iaitu Bicara Rasa bersama Ayie Floor88 dan Jika Ini Takdirnya (duet bersama Azzam Sham).
Terbaharu, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu bakal muncul dengan single Jangan Ragu ciptaan komposer terkenal, Asfan Shah yang akan dilancarkan pada bulan ini.
“Genre Jangan Ragu masih mengekalkan konsep balada tetapi dimodenkan, menjadikan melodinya sedikit rancak, namun tidak mendayu-dayu seperti lagu saya sebelum ini.
“Asfan sudah lama hendak beri lagu kepada saya tetapi sekarang baru berkesempatan untuk berkarya bersamanya. Dia memang komposer hebat.
“Lagu ini sangat sweet dan berkisarkan tentang percintaan pasangan bahagia. Sudah lama tidak keluar lagu solo, harap ramai suka lagu ini nanti,” tuturnya.
Sementara itu, ketika ramai artis baharu berusaha untuk menjadi versatil, Sheryl tidak menafikan dia juga mempunyai naluri sama.
“Niat untuk jadi seorang penghibur versatil memang ada, tetapi pada masa sama perlu jaga kualiti. Saya sangat pentingkan aspek pemilihan lagu yang bersesuaian dengan tahap dan kemampuan vokal sendiri,” ujarnya.
Tambahnya, dia bukan jenis pilih lagu tangkap muat sebab bimbang gagal menyampaikannya dengan baik kepada pendengar yang akan berakhir dengan kecaman dan kutukan warga maya.

Kecaman
Mengulas mengenai kecaman, Sheryl mengaku emosinya mudah terganggu dan murung sekiranya terdapat kutukan yang dilemparkan tentang kehidupannya.
“Saya bukan individu yang berhati keras. Jika dari luaran saya nampak lembut, begitu jugalah hati saya. Boleh diibaratkan seperti ‘tisu’.
“Kalau dapat mesej dalam media sosial yang mengutuk dengan perkataan kesat atau kasar, saya akan segera sekat akaun netizen itu sebab jenis cepat down (murung).
“Lebih baik saya buang jauh semua kata-kata negatif itu secepat mungkin sebelum emosi saya terus terganggu,” ujarnya.
Kongsinya, situasi sebegitu baru sahaja dilaluinya sejak beberapa bulan lalu selepas dia dan kekasih hati, Azzam, 23, secara terbuka mengaku menjalinkan hubungan cinta.
Katanya, sejak mereka mengaku bercinta, banyak komen negatif diterimanya, malah ada yang mendoakan perkara tidak elok terhadap hubungan bersama juara BS2020 itu.
“Banyak juga kata-kata dan doa yang tidak elok daripada orang ramai saya terima. Ada yang meluat, menyampah dan doakan hubungan kami putus. Teruk juga tetapi itu realiti yang perlu kami bayar.
“Sebenarnya niat kami bukan hendak jaja cerita cinta tetapi hanya ingin berkongsi momen gembira dengan peminat, tetapi lain pula yang ditafsir oleh orang lain,” katanya lagi.
Rentetan daripada semua kecaman berkenaan, dia akan cuba untuk tidak berkongsi terlalu banyak tentang kisah peribadi kepada umum selepas ini.
“Rasanya itu jalan terbaik buat masa ini. Perlu kurangkan perkongsian kisah peribadi sebab takut orang muak. Kalau ada berita gembira baru kami kongsi,” katanya.

Tumpang populariti
Dalam pada itu, Sheryl tidak menafikan namanya semakin dikenali selepas Azzam diumumkan sebagai juara baru-baru ini.
“Sebelum Azzam sertai BS, kami sudah kongsi dengan media tentang hubungan ini. Ada juga yang anggap kisah cinta ini gimik untuk lagu duet.
“Tetapi selepas dia menjadi juara, saya turut terkena tempias populariti itu. Mungkin kerana Azzam juga memilih untuk tidak berahsia dan berkongsi secara terbuka tentang hubungan kami.
“Jadi, secara tidak langsung populariti Azzam turut menaikkan nama Sheryl. Jujurnya tidak pernah terfikir langsung ingin popular dengan kisah peribadi.
“Harapnya semua ini akan segera reda dan perhatian akan lebih tertumpu terhadap kerjaya seni kami,” katanya menutup perbualan.















