fbpx

K2

Syurga makanan ­ di Restoran Bayu Village Seremban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENU signatur Restoran Bayu Village, nasi Arab lamb Shank yang mendapat sambutan pelanggan.

SUASANA tenang dan santai dengan variasi pelbagai jenis makanan menjadikan Restoran Bayu Village di Seremban, Negeri Sembilan sebagai lokasi pilihan keluarga untuk menjamu selera.

Bagaikan ‘syurga makanan’, restoran tersebut menyajikan hampir 50 menu hidangan termasuk masakan Melayu, Barat, Arab dan makanan laut.

Sebaik sahaja melangkah kaki ke sini, anda pasti teruja melihat deretan gerai di luar restoran yang turut menyediakan makanan jalanan (street food) seperti sate, rojak Singapura, roti telur goyang, nasi lemak, yong tau fu, laksa, takoyaki dan cendol ais krim leleh.

Menurut pemilik restoran, Zuizwan Zainudin, konsep restoran tersebut adalah sebagai pusat sehenti atau untuk pe­langgan menikmati apa jua hidangan.

“Namakan apa sahaja makanan di fikiran, pelanggan boleh dapatkan di sini kerana kami menawarkan variasi menu.

“Insya-Allah, semuanya ada daripada nasi Arab hingga makanan Barat, jadi pelanggan tidak perlu pergi ke banyak tempat untuk mendapatkan makanan yang disukai,” katanya ketika ditemui di Restoran Bayu Village, Seremban baru-baru ini.

 

RESTORAN Bayu Village menyediakan pelbagai pilihan menu tempatan dan Barat untuk dicuba pelanggan.

 

Jelas Zuizwan, Restoran Bayu Village yang telah beroperasi sejak 2014 itu juga sering menjadi pilihan untuk pelanggan menikmati menu makanan laut yang segar dan sedap seolah-olah berada di medan ikan bakar terkenal di Port Dickson, Negeri Sembilan atau Umbai, Melaka.

“Kami memberi jaminan bahawa makanan laut di restoran ini adalah yang segar dan berkualiti pada harga berpatutan kerana kepuasan pelanggan adalah keutamaan kami.

“Hidangan makanan laut yang wajib dicuba jika berkunjung ke restoran ini adalah ketam telur masin dan masakan ikan steam nyonya,” katanya yang bera­sal dari Seremban.

 

IKAN steam Nyonya, hidangan makanan laut yang menjadi pilihan pelanggan.

 

Selain itu, Zuizwan yang mempunyai pengalaman dan kepakaran menyediakan sendiri hidangan kepada pelanggan berkata, menu signatur atau unik di Restoran Bayu Village adalah nasi Arab lamb shank yang diolah menggunakan resipi beliau sendiri.

“Ada pelanggan yang datang dari jauh termasuk dari Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Johor untuk merasa sendiri nasi Arab lamb shank yang dimasak sehingga lembut dan mempunyai rasa tersendiri,” katanya.

Di samping menyajikan pelbagai variasi menu, restoran tersebut turut menyediakan kemudahan seperti surau dan tempat berkumpul untuk pelanggan terutama keluarga yang ingin menyambut hari jadi atau menganjurkan acara tertentu dengan selesa.

Harga yang ditawarkan di Restoran Bayu Village sangat berpatutan bermula pada harga RM2 hingga RM50, manakala hidangan makanan laut bergantung kepada harga pasaran dan berat.

 

PENGGEMAR ketam wajib mencuba ketam masak telur masin yang segar dan mempunyai rasa tersendiri.

 

Mengulas mengenai perancangan pada masa akan datang, Zuizwan memberitahu, pihaknya dalam perancangan untuk membuka dua cawangan Restoran Bayu Village di Putrajaya dan Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

“Selain itu, saya berhasrat untuk membawa jenama Restoran Bayu Village di pasaran antarabangsa supaya orang luar juga boleh menikmati masakan tempatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI