fbpx

Polis bongkar makmal mini proses dadah, tangkap 10 lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin Husain menunjukkan bahan yang digunakan untuk memproses dadah jenis methamphetamine yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Tapah.

TAPAH – Polis membongkar kegiatan sebuah makmal mini memproses dadah jenis methamphetamine dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Chenderiang di sini semalam.

Pembongkaran kegiatan yang dilakukan di kawasan tersorok yang terletak kira-kira tiga kilometer dari jalan utama itu turut dilakukan serentak bersama serbuan di empat lokasi lain di Selangor dan Kuala Lumpur.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Razarudin Husain berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya merampas 37.2 kilogram dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM1,674,000.

Katanya, menerusi serbuan itu juga, 10 lelaki termasuk seorang warga Myanmar berusia lingkungan 17 hingga 45 tahun diberkas untuk siasatan lanjut.

“Enam lelaki termasuk warga Myanmar itu ditahan dalam serbuan di Chenderiang manakala selebihnya di Seri Kembangan, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

“Siasatan mendapati makmal mini yang beroperasi sejak Mei lalu hanya beroperasi di bawah khemah dan memproses dadah untuk pasaran di Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini hari ini.

Razarudin memberitahu, berdasarkan siasatan, makmal mini tersebut telah menghasilkan dadah sebanyak dua kali sebelum serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman semalam.

Menurut beliau, jumlah dadah yang dirampas dalam serbuan itu dianggarkan untuk kegunaan seramai 186,000 penagih dadah.

“Dalam serbuan sama, polis turut menyita pelbagai aset sindiket tersebut yang dianggarkan bernilai RM448,490 termasuk tujuh buah kereta, tiga utas jam tangan berjenama, barangan kemas dan wang tunai.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah sebanyak RM2,122,490,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, daripada kesemua tangkapan tersebut, hanya dua suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah selain seorang suspek disahkan positif dadah.

“Kesemua suspek direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala aset yang dirampas pula diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI