fbpx

11,103 operasi sanitasi telah dijalankan sejak 30 Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah melakukan 11,103 operasi di bawah Ops Sanitasi Awam merangkumi 137 zon sejak 30 Mac lalu.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 29 operasi telah dilaksanakan semalam meliputi 11 Zon Merah, dua Zon Kuning dan sembilan Zon Hijau di lapan buah negeri.

Menurutnya, sebanyak 10 operasi dilakukan di Sabah, Melaka (lima), Pulau Pinang (empat), Negeri Sembilan (empat), Selangor (dua), Pahang (dua), Perak (satu) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (satu).

“Operasi sanitasi ini melibatkan 195 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 108 anggota pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sebanyak 24 jentera JBPM turut digunakan dalam Operasi Sanitasi Awam,” katanya pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung di laman Facebook hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, secara kumulatif sejak 24 Julai sehingga hari ini, seramai 61,331 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,886 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 67 hotel dan 19 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

“384 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 51,061 individu dibenarkan pulang ke rumah,” katanya. – K! ONLINE

POPULAR