SHAH ALAM – Aplikasi SELangkah yang sebelum ini digunakan bagi mengesan kontak Covid-19 dicadangkan diperluaskan bagi pengesanan lokasi wabak serta kontak pesakit tibi dan denggi.
Cadangan tersebut dilontarkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam membantu Jabatan Kesihatan Negeri bagi pencegahan penyakit lain.
“Kes penyakit denggi dan tibi agak membimbangkan di Selangor, jadi kita boleh mempertimbangkan menggunakan SELangkah untuk bantu atasi penularan penyakit lain.
“Aplikasi seperti ini terbukti banyak membantu kita mengesan kontak Covid-19 dan mungkin selepas ini boleh diluaskan lagi penggunaan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd. Najwan Halimi berhubung kos membangunkan SELangkah serta keberkesanan membantu mencegah penularan Covid-19.
Kerajaan negeri pada 14 Mei lalu memperkenalkan aplikasi sendiri iaitu SELangkah dalam menjejaki kontak rapat pesakit Covid-19 pertama di Malaysia.
Aplikasi tersebut juga menyediakan pengesanan menerusi ciri peta dan semakan premis yang membolehkan pengguna mengetahui tarikh sanitasi premis bagi memastikan kunjungan mereka selamat. -K!ONLINE