SHAH ALAM – Baucar Kita Selangor bernilai RM100 di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor akan disalurkan terus ke dalam e-wallet aplikasi SeLangkah bagi mengelakkan ketirisan dalam pelaksanaan bantuan tersebut.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kaedah berkenaan terbukti lebih berkesan berdasarkan pengalaman kerajaan negeri sebelum ini dalam menguruskan bantuan kepada rakyat.
“Pengalaman kerajaan negeri mengendalikan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor sebelum ini menunjukkan mekanisme itu berupaya meningkatkan ketelusan dalam penyaluran bantuan.
“Malah kita boleh tahu pengguna menggunakan bantuan tersebut atau tidak. Jika tidak digunakan beberapa kali, penyertaan mereka boleh dibatalkan kerana kita anggap mereka tidak memerlukan bantuan itu,” katanya pada sidang akhbar di lobi Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pendaftaran baucar berkenaan kepada 50,000 keluarga yang layak akan dibuka bermula jam 12 tengah hari esok.
Katanya, permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi www.baucarkitaselangor.com bagi memudahkan urusan penerima. – KOSMO! ONLINE














