fbpx

K2

BUJIN menjelajah 10 buah negara termasuk Britain untuk mempromosikan batik Malaysia.

Bujin bawa batik jelajah dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK berusia lapan tahun, Amir Harith Mat Kashim, 31, atau lebih mesra disapa sebagai Bujin telah menyertai pelbagai pertandingan lukisan dan kesemuanya meraih juara.

Semasa berusia 12 tahun lagi, Bujin telah menyertai pertandingan melukis batik peringkat Negeri Kelantan dan turut menjuarainya.

Bertitik tolak daripada situ, minatnya dalam lukisan batik telah bercambah dan pada usia 15 tahun dia telah bekerja di kilang penghasilan batik. Ketika itu dia menggalas pelbagai tugas termasuklah mencanting, melukis dan mewarna.

“Saya bekerja di kilang batik selepas pulang dari sekolah dan berada di sana sehingga pukul 11 malam setiap hari.

“Dalam tempoh dua tahun itu sahaja saya telah bekerja di dua buah syarikat penghasilan batik di Kelantan sehingga tamat persekolahan tingkatan lima,” tutur anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.

Rentetan itu, dia telah memasang impian untuk menjadi pembuat batik atau pembatik yang hebat dan mampu mengukir nama dalam sejarah pembuatan batik tanah air.

Bujin mewarisi bakat seni lukis daripada bapanya, Mat Kashim Mahamad, 67, yang merupakan seorang guru lukisan

Apatah lagi, keluarganya juga peniaga baju batik membuatkan Bujin berkobar-kobar untuk menjadi pembatik terkemuka yang dapat mengembangkan lagi perusahaan tersebut.

Bagi meneruskan cita-citanya itu, Bujin telah menyambung pengajian di peringkat Diploma Seni Kraf Batik di Institut Kraf Negara.

Kini, pemilik jenama Bujins L Batik Sdn. Bhd. (Bujins Batik) ini telah berjaya mencipta nama di dalam dan luar negara serta memenangi pelbagai anugerah. Kehebatan Bujin mula mendapat perhatian ramai apabila meraih Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2009.

 

Antara anugerah lain yang dimenanginya ialah Juara Pertandingan Rekaan Batik Malaysia 2020 (sempena Tahun Melawat Malaysia 2020), Tokoh Batik Muda 2018, Anugerah Usahawan Kraf Muda Kebangsaan 2018 dan Pemenang Piala Seri Endon 2012.

“Dalam penghasilan batik ini, saya cuba mencari kelainan dengan motif yang lebih moden dan futuristik untuk membuktikan bahawa batik Malaysia hebat setanding dengan negara-negara lain.

“Oleh itu, saya suka membuat trend sendiri sehingga dianggap ‘gila’ kerana menghasilkan corak-corak pelik seperti binatang dan kod binari,” tuturnya.

Tambah Bujin, dia juga menghasilkan corak batik bermotifkan watak adiwira dan menjadi tular pada tahun 2018 sehingga habis terjual.

Justeru, tidak hairanlah jenama Bujins Batik mendapat tempahan daripada kerabat diraja, para menteri, ahli politik dan golongan kenamaan.

Bujin berkata, pada masa ini dia sedang menyiapkan lukisan batik bermotifkan wajah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.

BATIK yang dihasilkan Bujin turut diketengahkan hingga ke Paris, Perancis.

Bagi mengukuhkan jenama Bujins Batik dan mengembangkan populariti batik Malaysia, Bujin telah membuat pameran seni dan peragaan fesyen di 10 buah negara antaranya Perancis, Britain, Itali, Turki dan Afrika Selatan.

“Mereka teruja dan begitu kagum melihat kesenian batik Malaysia. Sesetengahnya tidak pernah melihat batik dan kita telah berkongsikan satu benda baharu kepada dunia,” katanya yang menjadi salah seorang individu sering diberi kepercayaan oleh Tourism Malaysia untuk promosikan batik.

Pada masa ini, Bujins Batik mempunyai dua cawangan iatu di Kota Bharu dan GM Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut mengenai penubuhan Bujins Batik, pemuda itu memberitahu, ia ditubuhkan pada tahun 2009 ketika dia masih belajar di Institut Kraf Negara.

“Perniagaan ini dimulakan dengan modal yang kecil daripada duit simpanan sendiri dan hasil tempahan diterima secara kecil-kecilan tidak kira dari lokasi dekat mahupun jauh.

“Saya beruntung kerana dipertemukan dengan seorang ahli perniagaan Malaysia dari Amerika Syarikat, Taufiq Hussien yang memberi tunjuk ajar bagaimana membuka sebuah kedai batik dengan modal sedikit,” ulasnya.

Tutur Bujin, ahli perniagaan itu tertarik dengan kesenian batik yang dihasilkannya lantas beliau dengan rela hati menjadi mentor memberi tunjuk ajar kepadanya.

Akui Bujin, keluarga adalah tonggak dan tulang belakangnya yang menjadi pendorong serta penguat semangat untuk berjaya sehingga ke hari ini.

BUJIN (dua dari kanan) sering mengetengahkan idea-idea batik yang unik dan segar agar batik mampu memenuhi cita rasa pelbagai lapisan masyarakat.

Bercerita mengenai keseronokan dalam bidang ini, Bujin berkata, dia dapat memindahkan emosi dan perasaannya dalam setiap hasil lukisan batiknya.

“Selain itu, saya juga dapat ke luar negara untuk mempromosi batik Malaysia. Pada pada masa sama, saya berpeluang melihat keindahan budaya dan kraf di Asia dan Eropah.

“Saya pernah menjadi pengajar dan berkongsi ilmu bersama pembatik serta penggiat seni di beberapa negara pada tahun 2014 seperti di Thailand dan China,” tuturnya yang memberitahu negara-negara di Asia mempunyai tekstil batik masing-masing, namun menggunakan teknik yang berbeza.

Bujin berada di negara-negara itu selama 40 hari antaranya melawat Chiang Mai, Thailand serta Guangzhou dan Yunnan di China selain turut dibawa ke perkampungan untuk melihat penduduk membuat tenunan serta sulaman tempatan. Menerusi lawatan tersebut dia banyak mempelajari teknik pembuatan batik daripada pembatik tempatan yang sangat handal.

Satu lagi pengalaman yang tidak dapat dilupakannya adalah apabila diberi peluang berentap bersama seorang tokoh kraf Jepun, Master Edo Komon berusia 91 tahun dalam demonstrasi persahabatan antara Malaysia dan Jepun pada tahun 2019 di Kuala Lumpur.

“Pihak Jepun tidak percaya tokoh batik dari Malaysia ini adalah seorang pemuda kerana tokoh batik mereka hampir berusia satu abad.

“Batik dari Jepun adalah yang terbaik di Asia kerana mereka mempunyai tamadun awal pembuatan batik, maka kemahiran dalam pembuatan fabrik ini lebih tinggi,” ujarnya.

Ujarnya lagi, di Jepun harga batiknya sangat mahal iaitu RM40,000 hingga RM70,000 bagi sepasang baju kimono dan ia banyak dipakai kerabat diraja.

Selain mengusakan batik, Bujin juga merupakan pengasas dan jurulatih pasukan futsal Bujin L FC yang pernah menjuarai Liga Futsal Remaja Kelantan 2016.

Menurut Bujin, cabaran dalam perusahaan batik ialah mentaliti orang yang menganggap harga batik itu terlalu mahal sedangkan mereka tidak memahami kesukaran proses dalam menghasilkan fabrik tersebut.

Dalam mengembangkan lagi kesenian batik, pemuda itu turut menubuhkan Akademi Bujin sejak enam tahun lalu.

“Setiap tahun akademi ini akan mengambil 20 orang pelajar untuk memberi latihan selama 6 bulan.

“Sekiranya pelajar-pelajar itu menunjukkan potensi yang baik, mereka akan diserap menjadi staf Bujins Batik atau dicadangkan kepada syarikat-syarikat batik lain,” tuturnya yang memegang prinsip selagi dia bernafas, tidak akan berhenti membuat batik.

POPULAR