fbpx

Peminat tegar sanggup labur RM200,000 untuk beli nombor plat kenderaan unik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Bagi peminat tegar yang mahu memiliki nombor plat kenderaan unik untuk meng­abadikan nama, nama gelaran dan nama orang tersa­yang, mereka pas­tinya sanggup ber­belanja besar demi merealisasikan impian itu.

Sehubungan itu, ada yang sanggup membayar sehingga RM200,000 semata-mata keinginan untuk memiliki nombor plat kenderaan unik tersebut.

Berdasarkan permintaan dan pertanyaan yang semakin ba­nyak diterima daripada pelanggan, syarikat bumiputera, Smart Plate Malaysia telah memba­ngunkan website yang menyediakan perkhidmatan menawarkan pelbagai koleksi nombor plat kenderaan yang mungkin menjadi pilihan mereka.

Perniagaan yang dijalankan sejak tiga tahun oleh Pengarah Urusan Smart Plate, Mohd. Syah Rizal Ahmad dan Pengarahnya, Rudie Iswadie Ismail itu pada asalnya dibina atas dasar minat semata-mata.

MOHD. SYAH RIZAL (kanan) bersama Rudie Iswadie di pejabat Smart Plate di Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kini, laman web tesebut telah menjadikan mereka semakin po­pular dalam kalangan pe­ngumpul nombor plat kenderaan.

Mohd. Syah Rizal berkata, sehingga kini syarikat memiliki kira-kira 5,000 nombor plat kenderaan yang boleh dipilih dengan anggaran nilai hampir RM20 juta.

“Ia terbahagi kepada beberapa jenis kategori nombor plat ­iaitu nombor plat orang kenamaan (VVIP), plat khas, plat terkini, nombor plat klasik, nombor plat emas dan nombor plat nama dan unik.

“Harga purata ialah antara RM4,800 hingga RM8,000 tetapi jika pelanggan itu memerlukan nombor plat khusus seperti dua angka, klasik, emas dan unik maka nilainya bertambah berdasarkan beberapa faktor.

“Sebagai contoh, nombor plat WAT 113 (seakan nama Wati) dijual pada harga RM30,000,” kata­nya ketika ditemui di pejabatnya di Setapak, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai website tersebut, Rudie Iswadie menerangkan, ia dibangunkan lebih daripada tiga bulan dengan menyediakan pelbagai nombor plat kenderaan yang boleh dipilih mengikut kategori.

“Website yang mesra pengguna itu akan memudahkan pencarian mereka dan melalui kemudahan tersebut, kami memberi peluang perniagaan berpotensi kepada mana-mana usahawan untuk menjadi ejen bagi mempromosikan perkhidmatan ini,” jelasnya.

Tambah beliau, sehingga kini, syarikat memiliki lebih daripada 70 ejen di seluruh negara dan mereka yang aktif mampu me­raih pendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000.

Jelasnya, syarikat melihat permintaan terhadap nombor plat kenderaan bukan bermusim dan tidak terkesan daripada persekitaran ekonomi yang sukar kini.

Lebih menarik, minat golo­ngan bumiputera terhadap nombor plat kenderaan istimewa ini mula berkembang sejak tujuh tahun lalu ekoran perubahan gaya hidup dan peningkatan taraf hidup masing-masing.

“Malah kami melihat, ada pemi­nat yang menjadikan plat nombor unik ini sebagai satu pelaburan menguntungkan ke­rana ia bakal menjadi rebutan dalam beberapa tahun akan datang.

“Ini dapat dilihat pada pemilik plat nombor kenderaan WHW 1 yang dahulunya berjaya dibida pada harga RM100,000 kini nilainya telah bertambah kepada RM200,000,” ujarnya.

BERITA BERKAITAN