fbpx
HALIM RADZI

Halim Radzi idolakan Bront Palarae

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHADIRAN Halim Radzi dalam arena seni lakonan tanah air belum lagi sehebat nama-nama pelakon yang sering menghiasi layar perak mahupun kaca televisyen.

Boleh dikatakan lelaki dengan imej ‘pemuda kampung’ itu memiliki paras yang kacak, cukup untuk memenuhi kriteria menjadi hero dalam drama mahupun filem.

Namun, semua itu bukan jaminan bagi pemilik nama penuh Abd. Halim Radzi Sapari untuk ‘laku keras’ dan pantas popular.

Bakatnya dalam bidang lakonan ada, jika tidak, mana mungkin Halim pernah membolosi senarai peserta Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2015. Di situlah bakat jejaka berusia 24 tahun itu dicungkil. Ketika itu, dia baru berusia 18 tahun.

HALIM mengakui namanya pernah disingkirkan daripada produksi drama disebabkan jumlah pengikut Instagram yang tidak ramai.

“Mungkin belum sampai masa dan rezeki saya untuk bergelar seorang pelakon lelaki popular,” ujarnya.

Tambah Halim, selepas menyertai DFKL, dia mula disunting banyak rumah produksi untuk memegang watak di dalam drama, walaupun ketika itu dia langsung tidak pernah terfikir untuk bergelar pelakon secara serius.

Kata pelakon yang berasal dari Skudai, Johor itu, karier lakonannya pernah terhenti seketika selama dua tahun selepas dia mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian di Kolej Komuniti Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor dalam bidang juruteknik.

Biarpun begitu, minat dan keinginannya untuk terus berada dalam industri sebagai pelakon cukup kuat biarpun secara peribadi, Halim tidak terlalu mengejar populariti.

Dia sebaliknya mengakui, masih dalam proses mengejar pengalaman dan menimba ilmu dalam bidang lakonan.

“Alhamdulillah, sepanjang berlakon, saya mendapat reaksi dan penerimaan positif oleh pengarah dan pihak produksi atas hasil kerja yang diberikan.
“Saya masih ‘hijau’ dan banyak kekurangan yang perlu diperbaiki. Selalunya saya akan meminta pendapat daripada pengarah dan rakan-rakan pelakon lain untuk berkongsi ilmu,” katanya.

Bakat, kredibiliti

Pelakon drama Dia Bidadari Dari Syurga itu menambah, menjadi impian setiap pelakon untuk membawakan pelbagai watak bagi membuktikan kredibiliti diri sebagai seorang anak wayang.

Namun bagi Halim, dia tidak meletakkan sebarang sasaran untuk membawa sesuatu watak yang diidamkan.

Baginya, setiap watak yang diberikan dianggap penting dan perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh.

“Kepelbagaian watak memang satu keperluan untuk menguji tahap kemampuan lakonan seseorang. Itulah corak kerjaya sebagai pelakon,” ujarnya.

Oleh sebab itu, Halim tidak memilih dalam soal tawaran. Cuma dalam soal tawaran watak, seperkara penting sekarang ialah sikap sesetengah produksi yang menjadikan jumlah pengikut dalam laman sosial kriteria utama dalam pemilihan pelakon.

BERWAJAH tampan, Halim Radzi mampu pergi lebih jauh dalam bidang lakonan jika terus konsisten dan diberi peluang.

Tidak dinafikan, Halim turut berdepan dengan situasi sama. Namanya pernah diketepikan oleh sesetengah penerbit atas alasan jumlah pengikut akaun laman sosialnya yang tidak ramai.

Menyedihkan, namun itu hakikat yang perlu dilaluinya. Bakat seseorang pelakon diletakkan di tangga kedua berbanding populariti.

“Apabila peluang pun susah nak diberikan, bagaimana khalayak akan mengenali seseorang pelakon yang baru hendak menapak?

“Sebab itulah, setiap kali saya diberikan peluang, saya akan lakukan yang terbaik dan bersungguh-sungguh,” kata pelakon yang masih berstatus bujang itu.

Tidak mahu menunding jari menyalahkan mana-mana pihak, Halim melihat perkara tersebut sebagai situasi tidak adil. Pada hematnya, Malaysia mempunyai ramai pelakon berbakat, namun terpinggir dek populariti.

Meletakkan tiga nama iaitu Bront Palarae, Beto Kusyairy dan Azhan Rani sebagai idola, Halim kagum dengan mutu lakonan yang dipamerkan oleh ketiga-tiga aktor terbabit.

“Saya pernah berlakon bersama mereka kecuali Bront. Saya berharap dapat bergandingan dengannya suatu hari nanti,” getus Halim menutup perbualan.