fbpx

Gagal seludup 1.21 tan daun ketum ke Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian plastik hitam mengandungi daun ketum yang cuba diseludup ke Thailand ditemui di muara Kuala Sanglang malam semalam.

ALOR SETAR – Cubaan sekumpulan individu menyeludup 1.21 tan daun ketum ke Thailand menerusi perairan Kuala Sanglang dekat sini malam semalam berjaya dipatahkan Maritim Malaysia (APMM).

Dalam serbuan kira-kira pukul 11.35 malam itu, kumpulan penyeludup tersebut bertindak melarikan diri sebelum sempat mereka memindahkan bungkusan berisi daun ketum ke dalam bot.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, hasil maklumat risikan, pihaknya berjaya mengesan cubaan membawa keluar daun ketum menggunakan jalan laut.

“Kesemua 121 bungkusan plastik hitam mengandungi daun tumbuhan tersebut ditemui di satu lokasi berhampiran muara Kuala Sanglang.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, penyeludup bertindak melarikan diri dengan meninggalkan semua bungkusan daun ketum berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, sebuah bot peronda APMM telah diatur gerak menerusi Ops Khas ke lokasi tersebut.

Mahmad Faizal berkata, pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan hitam itu mengandungi daun ketum seberat 1.21 tan yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

“Harga pasaran daun ketum di Thailand jauh lebih tinggi sehingga boleh mencecah RM80 sekilogram berbanding harga pasaran di sini iaitu RM40 sekilogram

“Faktor harga pasaran yang tinggi merancakkan lagi aktiviti penyeludupan keluar daun ketum ke Thailand,” jelasnya.

Tambahnya, nilai rampasan ketum tersebut jika dipasarkan di negara jiran boleh mencecah RM96,800.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI