fbpx
ISYARIANA

Duit sendiri lebih nikmat – Isyariana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERGELAR artis kelahiran rancangan realiti televisyen popular Akademi Fantasia 2016 (AF2016) bukanlah jalan mudah untuk Isyariana menempa nama dalam industri hiburan tanah air.
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Kendatipun bidang nyanyian dilihat tidak menyebelahinya, dia akur dan terus mengatur langkah dalam bidang lakonan yang boleh dikatakan seperti lubuk rezekinya ketika ini.

Siapa sangka wanita yang pernah tersingkir pada konsert kelima AF2016 itu berjaya menempa nama dalam kerjaya lakonan.

Permulaan graf kerjayanya pada awal tahun 2016 mungkin agak perlahan, namun wajah jelita Isyariana Che Azmi itu dilihat semakin rancak menghiasi drama-drama tempatan masa kini.

Dia bukan sahaja dilimpahi dengan tawaran watak sampingan malah turut diberikan kepercayaan sebagai teraju utama bagi beberapa drama sejak tahun lepas.

Antara drama yang berjaya menaikkan namanya adalah Satukan Rasa, Lelaki Kiriman Tuhan dan Tolong Sempurnakan Cerita Mami.

BERMULA sebagai peserta AF2019, Isyariana kini sedang mengukir nama dalam bidang lakonan yang selama ini tidak pernah diimpinya.

Watak utama

Wanita berusia 30 tahun yang lebih mesra disapa sebagai Isya itu sangat bersyukur kerana dia kini diberi kepercayaan untuk menggalas watak utama dalam beberapa drama.

“Alhamdulillah. Perasaan sangat bersyukur kerana semua yang saya terima ibarat rezeki terpijak.

“Sebenarnya perjalanan untuk pegang watak utama masih lagi jauh, tetapi saya percaya ini semua berkat usaha selama beberapa tahun berkecimpung dalam industri seni,” ujarnya.

Ujar anak kelahiran Temerloh, Pahang itu lagi, dia enggan mensia-siakan peluang serta tanggungjawab yang telah diberikan oleh pengarah dan penerbit drama kepadanya.

“Sejak menceburkan diri dalam dunia lakonan, saya sudah berjanji kepada diri sendiri untuk tidak mengecewakan mana-mana pihak yang sudah meletakkan kepercayaan kepada saya.

“Saya akan ambil tanggungjawab itu semua dan akan terus berusaha dengan memberi komitmen lebih 200 peratus dalam kerjaya lakonan,” tuturnya.

Berbicara mengenai mutu lakonan, Isya mengakui pernah mengikuti beberapa kelas lakonan dengan beberapa pelakon senior seperti Ellie Suriaty Omar dan Zahiril Adzim.

“Sebelum berlakon, saya akan belajar dahulu tentang watak yang akan dilakonkan. Selain itu, saya juga banyak menimba ilmu dengan beberapa pelakon veteran yang tidak lokek berkongsi pengalaman mereka.

“Boleh dikatakan setiap hari merupakan hari belajar kerana proses pembelajaran tidak pernah berhenti.

“Itulah cara persediaan saya sebelum melontarkan dialog di set pengambaran,” katanya.

ISYA memasang impian untuk berlakon di samping Rosyam Nor dan Remy Ishak jika diberi peluang.

Impian

Sebagai seorang pelakon baharu, Isya turut memasang impian untuk berlakon di samping beberapa pelakon terkenal tanah air seperti Remy Ishak dan Datuk Rosyam Nor.

“Saya sangat mengagumi bakat-bakat beberapa aktor terkenal seperti Rosyam dan Remy.

“Mereka ada aura seorang bintang yang sukar didapati daripada artis lain. Sebagai pelakon baharu, saya memang teringin nak berlakon di samping mereka

“Saya juga ada impian untuk berlakon dengan Jalil Hamid. Dia seorang pelakon yang bijak bermain dengan jiwa, penghayatannya ketika berlakon memang hebat,” ujarnya.

Tambahnya, dia akan terus mengejar dan menggapai apa sahaja tawaran lakonan yang ada ketika ini, tidak kiralah watak kecil atau utama kerana semua itu rezeki dan peluang yang tidak perlu dipersia-siakan.

Tatkala ditebak dengan soalan panas tentang isu skandal seks dalam kalangan selebriti tanah air, Isya lega kerana sehingga kini dia masih tahu menjaga diri untuk tidak terjebak dengan aktiviti tidak bermoral.

Sedar dirinya bukan siapa-siapa, pelakon filem Warkah itu juga tidak mahu terlalu lantang atau menuding jari berhubung isu.

ISYA berpegang prinsip untuk menjauhi perkara tidak bermoral dalam hidupnya.

Kejar kemewahan

“Kita tidak tahu kehidupan sebenar dan apa yang mereka alami selama ini.

“Mungkin mereka terdesak untuk mendapatkan duit atau ingin hidup mewah. Mungkin itu merupakan jalan pintas untuk dapatkan duit.

“Saya akui zaman sekarang terlalu banyak persaingan dan semua orang berlumba-lumba untuk menjadi lebih baik atau kaya daripada orang lain,” ujarnya.

Tambahnya, dia juga tidak akan sesekali terjebak dengan perkara tidak bermoral itu kerana bertentangan dengan prinsip hidupnya yang sentiasa berusaha untuk mencari rezeki yang halal dan diberkati.

“Meskipun nama saya belum terkenal dan kehidupan tidak semewah artis lain, saya bersyukur dengan apa yang dimiliki sekarang.

“Tidak pernah terlintas dalam benak fikiran untuk hidup mewah dengan cara keji.

“Bagi saya, jangan terlalu hendak bersaing kerana tiada jalan singkat untuk berjaya atau hidup mewah melainkan atas usaha sendiri. Duit yang dicari sendiri itu lebih nikmat dan berkat sebenarnya.

“Konklusinya, jangan tamak dan usah terlalu bermegah-megah dengan kemewahan yang dimiliki sebab Tuhan boleh tarik nikmat itu bila-bila masa sahaja,” katanya menutup perbualan.

ISYA meletakkan sepenuh komitmen terhadap setiap tawaran kerja yang datang kepadanya. Kata Isya, dengan cara tersebut barulah dia berasa telah menunaikan tanggungjawab atas kepercayaan penerbit terhadap dirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN