fbpx

Agong nasihat Ahli Parlimen sokong Belanjawan 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati Ahli Parlimen supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, nasihat itu demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

“Al-Sultan Abdullah menegaskan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa khususnya petugas barisan hadapan untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman wabak.

“Sehubungan itu Al-Sultan Abdullah menyeru Ahli-ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda untuk mereka memberhentikan segera segala perbalahan politik dan sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agong mengingatkan Ahli Parlimen sengketa politik untuk kepentingan peribadi akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa pada ketika negara masih bergelut menghadapi ancaman wabak Covid-19.

Jelas beliau, Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara hari ini.

Menurut beliau, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima taklimat ringkas Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen pada 6 November 2020.

Tambah beliau, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan harapan baginda agar Belanjawan 2021 memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat.

Kata beliau, Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan penuh kemampuan Muhyiddin menerajui kepimpinan negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI