fbpx
Beberapa penduduk yang terjejas akibat banjir bawaan Taufan Molave berteduh di bawah sebuah pondok rosak di bandar Pola, wilayah Oriental Mindoro di Filipina hari ini. - AFP

Taufan Molave badai Filipina, tujuh nelayan masih hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POLA, Filipina – Satu usaha pencarian digerakkan hari ini untuk mencari tujuh nelayan dipercayai hilang semasa satu taufan bergerak merentasi kawasan gugusan kepulauan di Filipina.

Taufan Molave yang membawa angin selaju 130 kilometer sejam membadai Pulau Luzon semalam sebelum menuju ke kawasan barat Filipina.

Beberapa kawasan tanah rendah ditenggelami air, menumbangkan pokok dan tiang elektrik sekali gus memaksa beribu-ribu penduduk berpindah ke pusat-pusat penempatan sementara.

Sebuah tiang elektrik tumbang di sebatang jalan raya di bandar Pola, Oriental Mindoro hari ini. – AFP

Majlis Pengurusan Bencana dan Pengurangan Risiko Kebangsaan mengesahkan tiada kematian direkodkan setakat ini.

Lebih 70,000 penduduk kini mendiami pusat-pusat pelindungan sementara di wilayah Bicol, menurut agensi Pertahanan Awam.

Seramai 12 nelayan dilaporkan hilang di tiga kawasan di Bicol dan satu usaha pencarian dilancarkan berjaya menemui lima mangsa terselamat.

Anggota jabatan bomba membantu mengalihkan pokok yang tumbang yang menghalang akses jalan raya di bandar Pola. – AFP

Sekurang-kurangnya dua individu dilaporkan cedera akibat dihempap pokok tumbang di wilayah Oriental Mindoro, menurut gabenornya kepada stesen penyiaran berbayar tempatan, Teleradyo.

Anggota penyelamat masih mencari seorang individu yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaikinya karam di wilayah Batangas, selatan Manila. Tujuh kru lain bot sama berjaya diselamatkan.

Taufan Molave diramal bergerak ke Laut China Selatan hari ini. – AFP