fbpx

Semangat luar biasa Qistina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
QISTINA, gadis Kota Bharu jadikan Neelofa, Siti Nurhaliza sebagai idola.

BERDIKARI, berani mencuba dan tidak mudah mengalah. Itulah perkataan sesuai bagi menggambarkan keperibadian gadis ayu kelahiran Kota Bharu yang kini mengorak langkah mene­rokai dunia perniagaan.

Meskipun baru berusia 19 tahun dan masih bergelar pelajar sepenuh masa jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Machang, Kelantan, ia bukan penghalang bagi Nurfadiah Qistina Ahmad Ramzi menceburi bidang tersebut.

Selain sibuk mengulang kaji pelajaran dan menguruskan perniagaan, gadis yang mesra dipanggil Tina ini gemar mencuba pelbagai jenis masakan selain turut aktif sebagai model peragaan pakaian muslimah.

Ikuti temu bual Kosmo! Ahad bersama gadis ayu petah berbicara ini bagi mendalami jatuh bangun beliau mengusahakan perniagaan termasuk peranca­ngannya masa hadapannya.

1. Ceritakan mengenai perniagaan yang diusahakan dan bagaimana bermula?
Saya mula menceburi bidang perniagaan secara online dua tahun lalu di bawah nama FQBeautyHQ. Ketika itu kulit saya sensitif, walaupun mencuba pelbagai jenis produk di pasaran ia masih tidak menunjukkan sebarang perubahan sehinggalah saya nekad menghasilkan sendiri produk rawatan kulit menggunakan ramuan semula jadi.
Produk ini memfokuskan pada penjagaan kulit seperti pencuci muka dan serum. T­iada kan­dungan bahan kimia memandang­kan ia menggunakan madu kelulut dan herba sahaja.

2. Bagaimanakah Tina membahagikan masa antara berniaga, peragaan dan pelajaran?
Menguruskan aktiviti harian bukanlah sesuatu yang mudah kerana ada banyak perkara yang perlu saya lakukan setiap hari. Bagi memastikan semuanya berjalan seperti dirancang, saya menyediakan jadual supaya segala perancangan dapat dirancang lebih awal.
Saya bersyukur kerana mendapat sokongan keluarga terutama ibu bapa yang banyak membantu menguruskan pesanan pelanggan sekiranya saya sibuk dengan pelajaran dan peragaan.

3. Apakah dugaan terbesar yang dilalui sepanjang dua tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan?
Tahun pertama berniaga memang agak mencabar, saya gagal mencapai sasaran jualan, namun saya jadikan ia sebagai cabaran untuk menambah baik terutama dari segi pemasaran.
Tidak dinafikan persaingan amat sengit kerana terdapat ramai pengusaha produk kecantikan dengan nama-nama besar. Saya jadikan ia sebagai pemang­kin semangat untuk berusaha lebih kuat bagi menjadikan produk keluaran saya dikenali ramai suatu hari nanti.

4. Siapa idola atau mentor dalam bidang perniagaan?
Saya sangat mengidolakan selebriti dan usahawan, Neelofa serta penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kerana kejayaan mereka dalam bidang masing-masing selain memiliki keperibadian yang baik.

5. Selain berniaga, boleh kongsikan mengenai aktiviti Tina?
Saya terlibat aktif dalam bidang peragaan pakaian muslimah sejak berusia 15 tahun. Saya juga menjinakkan diri menceburi bidang lakonan dan filem pertama lakonan saya ialah Mael Totey The Movie arahan Syahmi Sazli yang sedang ditayangkan sekarang.

 

QISTINA mendapat sokongan penuh daripada keluarga termasuk membantunya dalam urusan perniagaan.

 

6. Apakah kepuasan yang dikecapi setakat ini selepas melibatkan diri dalam tiga cabang berbeza?
Saya berasa puas dan gembira kerana mampu memiliki kereta jenis Honda Jazz pada usia 19 tahun.
Saya juga dapat membiayai pengajian tanpa bergantung wang daripada ibu bapa. Lebih membanggakan, saya dapat memberikan wang kepada ibu bapa setiap bulan.
Saya rasa puas dapat belanja keluarga melancong dan makan menggunakan titik peluh sendiri. Bagi saya setiap rezeki yang diperolehi perlu dikongsi untuk mendapat keberkatan.

7. Difahamkan Tina minat memasak, boleh ceritakan sedikit mengenainya?
Saya mula memasak sejak berusia 10 tahun kerana ibu mewajibkan anak-anak pe­rempuannya turun ke dapur semasa dia memasak supaya kami tidak kekok. Juadah kegemaran saya adalah berasaskan mi seperti mi kuah dan mi goreng selain membuat kek.

8. Apakah pega­ngan atau motto hidup yang menjadi panduan Tina?
Saya percaya pada prinsip kerja keras secara se­nyap, biar kejayaan menjadi bukti kemudian hari serta kekal positif. Sentiasa merendah diri dan jangan lupa asal usul tidak kira sehebat mana kejayaan yang kita kecapi.

9. Miliki kira-kira 227,000 pengikut di laman Instagram, adakah ia satu tanggungjawab berat?
Betul, saya rasa bertanggungjawab terhadap kan­dungan yang dimuat naik di semua platform media sosial kerana ia menjadi perhatian pengikut.

10. Pesanan kepada mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan atau perkara baharu?
Jangan berputus asa. Sebagai orang baharu, pernah terlintas di fikiran perniagaan akan rugi. Perasaan itu timbul ha­nya di peringkat permulaan dan mereka yang menceburinya pasti akan terfikir begitu. Ba­nyakkan berdoa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI