fbpx
Coupe empat pintu pertama segmen kompak BMW ini mempesona.

Aerodinamik kompak BMW

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BMW Malaysia baru-baru ini memperkenalkan jentera coupe empat pintu yang pertama dalam segmen kompak premium bagi pasaran tempatan iaitu BMW 218i Gran Coupe M Sport.

Bertempat di Time Kulture oleh Switch Watch Gallery iaitu pameran jam tangan Swiss di Pavilion Kuala Lumpur, jentera itu diperkenalkan secara rasmi kepada peminat tempatan.

Sebelum acara berkenaan berlangsung, BMW terlebih dahulu menayangkan kereta itu di jalanan dengan warna kereta itu disamari dengan gubahan seni unik.

Gubahan berkenaan dihasilkan oleh kumpulan usahawan, sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan seperti Komuniti Tukang Jahit Changgih Designs, INKAA dan Kanoe.

BMW 218i Gran Coupe M Sport didatangkan dengan gril kidney tunggal dalam rekaan tiga dimensi yang baharu, dipadankan dengan lampu hadapan diod pemancar cahaya (LED) serta lampu kabus LED yang langsing.

Reka bentuk aerodinamik juga membekalkan pusat graviti rendah untuk memperlihatkan kedinamikan jentera itu, manakala rekaan pintu hadapan dan belakang tidak berbingkai.

Kereta itu didatangkan dengan roda aloi ringan M dalam penggayaan dwiruji 819 M Bicolour 18 inci dengan tayar runflat.

Di seksyen belakang, terletak set lampu belakang LED langsing yang dihubungkan oleh jalur hitam berglos tinggi. Gran Coupe baharu itu juga hadir dengan pakej M Aerodynamics sebagai standard, berserta dengan Garisan Bayang (Shadow Line) BMW Individual berglos tinggi.

TUIL gear dengan rekaan moden mudah dicapai oleh pemandu.

Jentera itu dikuasakan oleh enjin petrol tiga silinder dengan kapasiti 1.5 liter. BMW 218i Gran Coupe M Sport merupakan coupe BMW kompak yang pertama memanfaatkan penempatan enjin secara melintang.

Dengan output maksimum berjumlah 103 kW dan puncak tork berjumlah 220 Nm, Gran Coupe baharu ini mampu membuat pecutan dalam masa 8.7 saat.

Kelajuan tertinggi jentera ini ialah 213 kilometer sejam, manakala penggunaan bahan apinya merekodkan 5.9 liter bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100 kilometer, dengan emisi karbon berjumlah 135 gram perkilometer.

Kuasa disalurkan melalui transmisi dwiklac Steptronic Tujuh Kelajuan. Seperti BMW 1 Series, BMW 218i Gran Coupé M Sport didatangkan dengan seni bina pacuan roda hadapan (FWD).

Penyumbang utama dalam aspek pengendalian FWD yang cemerlang adalah teknologi ARB (near-actuator wheel slip limitation) yang membenarkan intervensi kawalan yang lebih pantas dan sensitif.

Ia juga meminimumkan sensitiviti pembelokan rendah (understeer) yang biasa dialami kenderaan FWD.

Teknologi ARB ini menampilkan sistem kawalan gelincir yang terletak di dalam unit kawalan enjin. Ia mewujudkan jarak signal lebih singkat dengan output enjin yang akan dikurangkan jika wujud potensi kegelinciran pada roda hadapan.

Ruang kokpit BMW 218i Gran Coupé M Sport dihiasi dengan kemasan trim beriluminasi, Illuminated Boston dan sumber cahaya LED melalui Lights Package untuk memperkayakan ambien ruang kabin.

Kereta itu juga didatangkan dengan Stereng kulit M yang berciri multifungsi, kerusi kulit dengan kemasan Leather Dakota dan sistem penyaman udara automatik dua zon.

Gran Coupe baharu turut hadir dengan BMW Live Cockpit Plus yang menampilkan takometer dan meter laju analog, serta skrin 5.1 inci berformat potret 4:3 yang memaparkan butiran seperti kelajuan kereta, status sistem bantuan pemandu dan arahan navigasi.

Ia dilengkapkan oleh paparan kawalan skrin sentuh 8.8 inci.

Kereta itu juga hadir dengan konsol tengah yang merangkumi tuil gear, pengawal iDrive, pengawal dinamik pemanduan serta butang push start.

Rekaan khas central tunnel membekalkan keselesaan dan ruang lebih luas bagi penumpang belakang jika dibandingkan dengan coupe dua pintu yang standard dalam segmen ini.

Ruang meletak muatan 430 liter jentera ini bersaiz 40 liter lebih lebar berbanding BMW 2 Series Coupe. Ia juga boleh ditingkatkan lagi dengan melipat tempat duduk belakang dalam pembahagian 40/20/40.

LAMPU kabus Gran Coupe.

Comfort Access 2.0 turut disediakan untuk Gran Coupe berserta dengan Kunci Digital BMW.

Bantuan ditawarkan melalui BMW Personal CoPilot yang menampilkan ciri-ciri kefungsian seperti bantuan memandu, bantuan memarkir dan bantuan mengundur.

Sistem bantuan memandu ini merangkumi amaran penukaran laluan, amaran perentasan trafik di belakang, amaran perlanggaran belakang dan bantuan had kelajuan.

Bantuan Parkir dan Bantuan Mengundur juga disediakan sebagai standard, berserta Kawalan Jarak Parkir Aktif dan bantuan parkir lateral.

BMW 218i Gran Coupé M Sport ditawarkan dalam warna Alpine White (putih), Black Sapphire (hitam), Snapper Rock Blue (biru), Storm Bay (kelabu) dan Melbourne Red (merah).

Pelanggan boleh menempah Gran Coupe terbaharu ini di http://www.shop.bmw.com.my/ pada harga tempahan RM1,000.

BERITA BERKAITAN